Sabtu, 3 Disember 2022 | 11:10am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Kerugian akibat bencana alam global 2022 cecah RM1.17 trilion

GENEVA: Bencana alam semula jadi dan bencana angkara manusia mengakibatkan kerugian ekonomi AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini.

Antara kemusnahan terbesar ialah kerana Taufan Ian dan malapetaka akibat cuaca melampau, menurut firma Swiss Re.

Kerugian yang dilindungi insurans pula berjumlah AS$122 bilion (RM536.80 bilion) atau kurang separuh daripada kerugian ekonomi keseluruhan pada tahun ini, kata syarikat berpangkalan di Zurich itu, yang juga penanggung kos kepada syarikat insurans.

"Taufan Ian dan cuaca melampau lain seperti ribut musim sejuk di Eropah, banjir di Australia serta Afrika Selatan, selain ribut air batu di Perancis dan Amerika Syarikat (AS) adalah pemusnah utama.

"Secara keseluruhan, ia menyumbang kepada kerugian akibat bencana alam semula jadi yang dilindungi insurans berjumlah sekitar AS$115 bilion (RM506 bilion)," kata Swiss Re dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kos yang dilindungi insurans akibat bencana buatan manusia pula berjumlah sebanyak AS$7 bilion (RM30.8 bilion).

Tahun ini adalah tahun kedua berturut-turut kos keseluruhan akibat bencana alam yang dilindungi insurans melebihi AS$100 bilion (RM440 bilion), berbanding hampir AS$121 bilion (RM532.4 bilion) tahun lalu.

"Urbanisasi, pengumpulan kekayaan di kawasan yang cenderung ditimpa bencana, inflasi dan perubahan iklim adalah faktor penyumbang utama.

"Apabila Taufan Andrew membadai 30 tahun lalu, kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM88 bilion), yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Namun, kini sebanyak enam taufan kategori sama melanda dalam tempoh enam tahun," kata ketua bencana Swiss Re, Martin Bertogg.

Menurutnya, Taufan Ian adalah bencana yang menyebabkan kerugian terbesar tahun ini dengan anggaran kerugian dilindungi insurans antara AS$50 bilion (RM220 bilion) hingga AS$65 bilion (RM286 bilion).

Firma Swiss Re menganggarkan Taufan Ian mengakibatkan kerugian dilindungi insurans kedua terbesar dalam sejarah selepas Taufan Katrina membadai AS pada 2005.

Daripada anggaran kerugian ekonomi akibat kerosakan harta benda berjumlah AS$268 bilion (RM1.17 trilion) sepanjang tahun ini, AS$260 bilion (RM1.14 trilion) disebabkan oleh bencana alam semula jadi, manakala AS$8 bilion (RM35.2 bilion) lagi berpunca daripada perbuatan manusia seperti kemalangan industri. - AFP

Berita Harian X