Sabtu, 3 Disember 2022 | 9:42am
Anggota pasukan keselamatan Sepanyol berkawal di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Madrid selepas bom surat ditemui, dialamatkan kepada Duta AS. - Foto EPA
Anggota pasukan keselamatan Sepanyol berkawal di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Madrid selepas bom surat ditemui, dialamatkan kepada Duta AS. - Foto EPA

Jabatan kerajaan Sepanyol terima 6 bungkusan berisi bom surat

MADRID: Pihak berkuasa Sepanyol memusnahkan satu bom surat yang dihantar ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Madrid.

Penghantaran itu adalah yang keenam membabitkan bahan letupan berbentuk surat yang menyasarkan pihak berprofil tinggi, mendorong pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dan menegaskan tidak akan berhenti menyokong Ukraine.

Bungkusan berisi bom surat itu mula diterima oleh Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, pada 24 November lalu, menyebabkan kawasan sekitar dikosongkan sebagai langkah keselamatan jika bom berkenaan meletup.

Sejak Rabu lalu, bahan letupan yang sama turut dihantar ke Kementerian Pertahanan, pangkalan tentera udara, kilang pengeluar senjata dan Kedutaan Ukraine.

Semasa di Kedutaan Ukraine, bom surat itu dilaporkan meletup, menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera.

Menteri Pertahanan, Margarita Robles, yang melawat bandar pelabuhan Odesa di Ukraine menegaskan, jika ada pihak cuba menggugat sokongan Sepanyol dengan menghantar bom surat, langkah itu tidak akan berjaya.

"Ingin saya jelaskan bahawa bom surat atau sebarang tindakan keganasan tidak akan sama sekali melunturkan komitmen Sepanyol, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi terus menyokong Ukraine," katanya.

Dalam pada itu, pensyarah hal ehwal antarabangsa di Universiti Comillas, Pedro Rodriguez, menyatakan kesemua bom surat berkenaan bertujuan meraih perhatian pelbagai pihak.

Katanya, mana-mana pihak yang terbabit dengan bom surat itu hanya mahu mencetuskan kekecohan dan percaya ia membabitkan individu, bukannya kumpulan atau pertubuhan.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, mengarahkan semua kedutaan negara itu di seluruh dunia mengetatkan langkah keselamatan selepas bom surat itu diterima di Madrid.

Duta Ukraine ke Sepanyol, Serhii Pohoreltsev, secara terang-terangan menuduh bom surat itu dihantar oleh Russia.

"Kami diberi maklumat mengenai 'kegiatan Russia' di luar negara dan sehubungan itu, kami perlu berjaga-jaga dan meningkatkan kawalan," katanya.

Penghantaran bom surat kepada beberapa pejabat kerajaan dan pangkalan tentera di sekitar Madrid menyebabkan sejumlah jalan utama ditutup, sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Pertahanan Sepanyol, Rafael Perez berkata, bom surat tu diletakkan dalam bungkusan warna coklat yang mengandungi serbuk peledak dan wayar pembakar yang akan menyebabkan 'kebakaran' berbanding letupan.

Satu daripada enam bungkusan yang diterima kini disimpan oleh pihak berkuasa negara ini bagi tujuan pemeriksaan.

Sementara itu, pihak berkuasa enggan mengeluarkan amaran kepada penduduk mengenai ancaman keganasan berhubung misteri bom surat berkenaan. – REUTERS

Berita Harian X