Rabu, 30 November 2022 | 10:39am
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan yang rosak di bandar pelabuhan Laut Azov di Mariupol, Ukraine. - Foto AFP
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan yang rosak di bandar pelabuhan Laut Azov di Mariupol, Ukraine. - Foto AFP

NATO berikrar hulur lebih banyak bantuan kepada Ukraine

BUCHAREST: Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam berikrar akan menghantar lebih banyak senjata kepada Ukraine.

Dalam pertemuan mereka di Bucharest, menteri luar NATO juga menjanjikan lebih banyak bantuan bagi memperbaiki grid elektrik Ukraine yang mengalami kerosakan besar selepas diserang tentera Russia.

Amerika Syarikat (AS) sahaja menjanjikan bantuan peralatan bekalan elektrik berjumlah AS$53 juta (RM237.84 juta).

Prasarana tenaga Ukraine kini hanya boleh memenuhi 70 peratus keperluan penduduknya, menyebabkan pemerintah Ukraine melakukan catuan elektrik, dengan penduduk hanya mendapat bekalan elektrik sehingga enam jam sehari.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di mesyuarat Menteri Luar NATO di Bucharest, Romania. - Foto Reuters
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di mesyuarat Menteri Luar NATO di Bucharest, Romania. - Foto Reuters

Bercakap kepada sidang NATO di Bucharest itu, Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba juga meminta diberi sistem penangkis peluru berpandu, Patriot, buatan AS.

Sistem itu digunakan dengan berkesan semasa perang Teluk Parsi pada 1991.

Namun, Russia telah memberi amaran kepada NATO supaya tidak membekalkan Patriot kepada Ukraine.

Moscow berkata, tenteranya akan menyerang senjata penangkis peluru berpandu itu jika dihantar ke Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X