Khamis, 24 November 2022 | 8:02pm
Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ‘VIII St.Petersburg Pride’ di St. Petersburg, Russia. - Foto REUTERS
Orang ramai mengambil bahagian dalam perhimpunan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ‘VIII St.Petersburg Pride’ di St. Petersburg, Russia. - Foto REUTERS

Parlimen Russia meluluskan undang-undang melarang 'propaganda LGBT'

MOSCOW: Parlimen Russia meluluskan bacaan ketiga dan terakhir undang-undang yang memperluaskan larangan sedia ada untuk mempromosikan 'propaganda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)' kepada kanak-kanak dengan mengharamkannya di semua peringkat umur.

Di bawah undang-undang baharu, sebarang acara atau perbuatan yang dianggap sebagai percubaan untuk mempromosikan homoseksualiti termasuk dalam talian, filem, buku, pengiklanan atau di khalayak ramai boleh dikenakan denda yang berat.

Denda adalah sehingga AS$6,600 (RM29,667) bagi individu dan sehingga AS$82,100 (RM369,000) untuk entiti berdaftar, manakala warga asing boleh ditahan selama 15 hari dan diusir seterusnya dari negara itu.

Pengkritik melihat langkah itu sebagai percubaan untuk terus menakut-nakutkan dan menindas minoriti seksual di Russia, di mana pihak berkuasa menggunakan undang-undang sedia ada untuk menghentikan perarakan gay dan menahan aktivis hak gay.

Penggubal undang-undang berkata, mereka mempertahankan moral dalam menghadapi apa yang mereka pertikaikan sebagai nilai 'bukan Russia' yang dipromosikan oleh Barat.

Tetapi kumpulan hak asasi manusia berkata, langkah itu direka untuk mengharamkan perwakilan minoriti seperti LGBT dalam kehidupan awam.

"LGBT hari ini adalah elemen peperangan hibrid dan dalam peperangan hibrid ini kita mesti melindungi nilai, masyarakat dan anak-anak kita," kata seorang arkitek rang undang-undang itu, Alexander Khinstein, bulan lalu.

Rangkaian LGBT yang menawarkan bantuan guaman, menggelar perundangan itu sebagai percubaan 'tidak masuk akal' untuk mengaibkan dan mendiskriminasi komuniti LGBT.

TikTok, aplikasi perkongsian video, didenda 3 juta rubel (RM223,000) bulan lalu kerana mempromosikan 'video dengan tema LGBT', manakala pengawal selia media Russia meminta syarikat penerbitan untuk menarik balik semua buku yang mengandungi 'propaganda LGBT' daripada jualan.

Rang undang-undang itu perlu disemak oleh Dewan Rakyat di Parlimen dan ditandatangani oleh Presiden, Vladimir Putin sebelum berkuat kuasa. - REUTERS

Berita Harian X