Rabu, 16 November 2022 | 7:32am
Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters
Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters

Roket tersilap sasaran jatuh di Poland, 2 maut

WARSAW: Sebuah roket, didakwa buatan Russia, dikatakan jatuh di perkampungan Przewodow, Poland, yang terletak berdekatan sempadan Ukraine, mengorbankan 2 nyawa, menurut Kementerian Pertahanan Poland.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang dipetik agensi berita Sputnik, berkata berdasarkan trajektori peluru berpandu yang mendarat di Poland, adalah 'mustahil' ia dilancarkan dari Russia.

"Terdapat maklumat awal yang menyangkal dakwaan itu, saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga kita menyiasat sepenuhnya tetapi berdasarkan trajektori, tidak mungkin ia dilancarkan dari Russia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuannya dengan beberapa pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurutnya lagi, terdapat persetujuan menyeluruh dalam kalangan semua pihak untuk menyokong siasatan Poland terhadap kes itu.

AP melaporkan, menurut pegawai AS, siasatan awal mendapati peluru berpandu yang jatuh di Przewodow, kira-kira enam kilometer (km) dari sempadan Ukraine, ditembak oleh tentera Ukraine menyasarkan tentera Russia yang sedang mara.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Presiden Poland, Andrzej Duda, berkata Poland tidak mempunyai sebarang bukti kukuh pada masa ini mengenai dalang yang melancarkan peluru berpandu dan tiada tanda bahawa kejadian sama akan berulang.

Jurucakap kerajaan Poland, Piotr Mueller memaklumkan pemimpin tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini sedang mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan krisis itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Dmitry Peskov, pula menafikan peluru berpandu mereka disasarkan ke Poland dan menyifatkan sebarang tuduhan sebagai 'provokasi secara sengaja'.

Sehubungan itu juga, Kementerian Pertahanan Poland memanggil duta Russia bagi mendapatkan penjelasan.

Sementara itu, sekutu NATO juga sedang menyiasat laporan mengenai letupan itu yang disebabkan oleh peluru berpandu sesat Russia.

Sebarang serangan Russia terhadap Poland, jika terbukti, akan memburukkan lagi konflik Russia-Ukraine kerana selaku anggota NATO, Poland berhak mendapat sokongan pertahanan pertubuhan itu di bawah Artikel 5.

Perkara itu turut mendapat perhatian, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, yang memaklumkan negaranya sedang meneliti segera laporan serangan peluru berpandu di Poland dan menyatakan akan menyokong sekutunya memperoleh maklumat apa sebenarnya berlaku.

"Kami juga sedang menyelaraskan dengan rakan kongsi antarabangsa kami termasuk NATO," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Poland berhubung 'keganasan peluru berpandu Russia'.

Kepulan asap kelihatan dari lokasi di mana dipercayai dua letupan berlaku selepas peluru berpandu Russia tersasar dan jatuh di sebuah perkampungan dekat Nowosiolki, Poland. - Foto REUTERS
Kepulan asap kelihatan dari lokasi di mana dipercayai dua letupan berlaku selepas peluru berpandu Russia tersasar dan jatuh di sebuah perkampungan dekat Nowosiolki, Poland. - Foto REUTERS

Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters
Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters

Zelensky yang menghubungi rakan sejawatannya itu semalam, mengucapkan takziah berikutan laporan awal serangan peluru berpandu yang didakwa dilakukan Russia mengakibatkan dua orang terbunuh di Poland.

"Kami merakamkan takziah atas kematian warga Poland akibat keganasan peluru berpandu Russia. Kami bertukar maklumat yang ada dan menjelaskan semua fakta.

"Ukraine, Poland, seluruh Eropah dan dunia mesti dilindungi sepenuhnya daripada pengganas Russia," ciap Zelensky menerusi Twitter.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov yang turut memberi maklum balas kepada laporan itu mengatakan, itu adalah realiti yang kerap negaranya tekankan sebagai amaran.

"Perkara ini yang kami sering beri amaran. Kami meminta untuk menutup ruang udara kerana ia tiada sempadan.

"Ramai bertengkar atau bersaing tanpa mengambil kira tindakan atau perasaan masing-masing. Semua hanya mahu menang," katanya.

Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters
Sebuah roket buatan Russia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland. - Foto Reuters

Russia melancarkan operasi besar-besaran terhadap fasiliti tenaga di seluruh Ukraine semalam, menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik.

Jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Pat Ryder berkata Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Moldova di sempadan Ukraine juga terkesan dengan pelancaran peluru berpandu Russia dan penduduk di seluruh negara terputus bekalan elektrik, kata pegawai kerajaan.

Dalam pada itu Presiden Ukraine Volodymir Zelenskyy memaklumkan Russia melancarkan sekurang-kurangnya 85 peluru berpandu menyasarkan fasiliti tenaga, menyebabkan penduduk di kebanyakan bandar negara itu terputus bekalan elektrik.

Menurut Kementerian Tenaga Ukraine, serangan ke atas fasiliti tenaga itu yang terbesar sejak pencerobohan Russia bermula sembilan bulan lalu.

Serangan sebelum ini memusnahkan kira-kira 40 peratus infrastruktur tenaga di Ukraine. - AGENSI

Polis menyekat jalan masuk ke perkampungan Przewodow susulan sebuah roket jatuh. - Foto Reuters
Polis menyekat jalan masuk ke perkampungan Przewodow susulan sebuah roket jatuh. - Foto Reuters

Berita Harian X