KYIV: Russia melakukan serangan besar-besaran terhadap infrastruktur penting sehingga mengakibatkan bekalan kuasa dan air terputus di bandar ini serta beberapa bandar lain termasuk Kharkiv.
Serangan itu adalah tindakan balas terhadap apa yang didakwa Moscow sebagai serangan Ukraine ke atas armadanya di Laut Hitam, hujung minggu lalu
Kementerian Pertahanan Russia, berkata tenteranya melakukan serangan udara jarak jauh berketepatan tinggi dan senjata laut terhadap tentera dan sistem tenaga Ukraine.
"Matlamat serangan berjaya dicapai dan mengenai semua sasaran yang ditetapkan.," katanya dalam satu kenyataan.
Tentera udara Ukraine pula dilaporkan berkata, ia menembak jatuh 44 daripada lebih 50 peluru berpandu jelajah yang dilancarkan oleh Russia.
Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal berkata, peluru berpandu dan dron Russia membedil 10 wilayah Ukraine dan merosakkan 18 objek, kebanyakannya adalah kemudahan tenaga.
Ratusan kawasan di tujuh wilayah Ukraine dibiarkan tanpa kuasa, katanya dalam hantaran di Facebook, sambil menambah bahawa "akibatnya mungkin lebih teruk" jika tentera Ukraine tidak menembak jatuh kebanyakan peluru berpandu Russia.
Letupan kuat kedengaran di seluruh ibu negara Ukraine ketika penduduknya bersiap sedia untuk pergi bekerja.
Ramai yang menerima mesej teks daripada perkhidmatan kecemasan mengenai ancaman serangan peluru berpandu dan siren serangan udara turut berbunyi selama tiga jam berturut-turut.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata 80 peratus daripada pengguna di bandar dengan tiga juta penduduk itu ditinggalkan tanpa bekalan air kerana kerosakan kepada kemudahan tenaga.
Pihak berkuasa tempatan sedang berusaha memulihkan bekalan secepat mungkin, kata Klitschko, sambil memgingatkan penduduk Kyiv untuk "menyimpan bekalan air dari bilik pam dan tempat jualan terdekat."
Ketua Pejabat Presiden Volodymyr Zelenskyy, Andriy Yermak, berikrar bahawa serangan ke atas kemudahan awam itu tidak akan melemahkan penentangan Ukraine.
"Kami akan bertahan dan generasi Russia seterusnya akan membayar harga yang tinggi atas tindakan memalukan mereka," katanya.
Serangan itu berlaku sejurus sebelum Perdana Menteri Czech, Petr Fiala dan anggota tertinggi kerajaannya, termasuk menteri luar, pertahanan dan dalam negeri, tiba di Kyiv bagi menunjukkan sokongan terbaru daripada pemimpin Eropah kepada Ukraine.
Kepulan asap kelihatan dari tebing kiri Sungai Dnieper di Kyiv, sama ada dari serangan peluru berpandu atau di mana ia ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.
Perdana Menteri Shmyhal berkata, di wilayah Kyiv, Zaporizhzhia, Dnipropetrovsk dan Kharkiv, penutupan kuasa kecemasan sedang dijalankan.
"Hari ini, sama seperti minggu-minggu sebelumnya, adalah penting untuk rakyat Ukraine menggunakan tenaga dengan berhati-hati dan mengurangkan beban pada grid," katanya.
Gabenor wilayah Kyiv, Oleksii Kuleba berkata seorang cedera dan beberapa rumah rosak dalam serangan berkenaan.
"Kremlin membalas dendam terhadap kegagalan tentera ke atas penduduk yang ditinggalkan tanpa bekalan elektrik sebelum musim sejuk," katanya.
Di bandar timur Kharkiv, dua serangan melanda kemudahan infrastruktur kritikal, menurut pihak berkuasa dan kereta api bawah tanah itu berhenti beroperasi.
Pegawai juga memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan bekalan elektrik di bandar Zaporizhzhia akibat daripada serangan di sana.
Gabenor Lviv, Maksym Kozytskyy, wilayahnya turut menjadi sasaran bagaimanapun peluru berpandu ditembak jatuh, kata Gabenor Lviv Maksym Kozytskyy.
Objek infrastruktur kritikal turut terkena di wilayah Cherkasy, tenggara Kyiv.
Di wilayah Kirovohrad di tengah Ukraine, kemudahan tenaga itu terjejas, menurut pihak berkuasa tempatan
Di Vinnytsia, peluru berpandu yang ditembak jatuh mendarat di bangunan awam, mengakibatkan kerosakan bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut Gabenor wilayah, Serhii Borzov.
Beberapa bahagian kereta api Ukraine juga terputus kuasa, lapor Keretapi Ukraine.
Serangan itu berlaku dua hari selepas Rusia menuduh Ukraine melakukan serangan dron terhadap Armada Laut Hitam Russia di luar pantai Semenanjung Crimea. - AP