Jumaat, 19 Ogos 2022 | 2:28pm
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (tengah); Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berjabat tangan selepas pertemuan di Lviv, Ukraine. - Foto AP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (tengah); Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berjabat tangan selepas pertemuan di Lviv, Ukraine. - Foto AP

Ketua PBB, Turkiye, Ukraine ke meja rundingan usaha akhiri perang Russia-Ukraine

KYIV: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan rundingan dengan Presiden Turkiye dan Ukraine semalam bagi membincangkan mengenai inisiatif mengakhiri konflik Ukraine dengan Russia.

Rundingan turut diadakan bagi menyelamatkan stesen jana kuasa nuklear terbesar di Eropah yang diserang sebelum ini.

Rundingan membabitkan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Bercakap kepada pemberita selepas rundingan di Ukraine, Guterres berkata,

beliau bimbang dengan keadaan di loji nuklear Zaporizhzhia dan menggesa peralatan dan kakitangan tentera di situ dikeluarkan.

Erdogan berkata, rundingan tiga pihak itu juga menunjukkan perkembangan positif bagi menghidupkan semula rundingan damai dengan Russia yang berlaku di Istanbul pada Mac lalu.

"Secara peribadi, saya kekal percaya bahawa perang ini akan berakhir di meja rundingan, Zelenskiy dan Guterres juga mempunyai pendapat yang sama dalam hal ini," katanya.

Dalam perjanjian yang diwakili PBB dan Turkiye, kedua-dua pihak baru-baru ini mencapai persetujuan untuk Russia menarik balik sekatan penghantaran bijirin Ukraine dengan eksport sudah disambung semula.

Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Turkiye bertindak mengekalkan hubungan baik dengan Russia yang juga rakan perdagangan penting, namun berusaha untuk menjadi pengantara dalam konflik yang sudah berlarutan selama enam bulan itu.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas dari Moscow belum berjaya, dengan Guterres mengulangi seruan supaya loji nuklear itu diisytiharkan zon bebas tentera.

"Kemudahan itu tidak boleh digunakan sebagai sebahagian daripada sebarang operasi ketenteraan.

"Sebaliknya, persetujuan amat diperlukan untuk mewujudkan semula infrastruktur awam Zaporizhzhia dan memastikan keselamatan kawasan itu," katanya.

Sementara itu Zelenskiy, selepas pertemuan dengan Guterres semalam, menyatakan persetujuan kemungkinan melaksanakan misi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ke loji itu.

"Russia harus dengan segera dan tanpa syarat menarik balik tenteranya dari wilayah loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia, serta menghentikan sebarang provokasi dan serangan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 17 terbunuh dan 42 cedera dalam dua serangan berasingan Russia ke atas bandar utama Kharkiv di timur laut Ukraine, kata gabenor wilayah itu semalam.

Perkhidmatan kecemasan tempatan pula memaklumkan, tiga orang awam turut terbunuh manakala 17 cedera dalam serangan roket awal pagi semalam.

Ia adalah serangan susulan selepas Russia menyerang Kharkiv pada Rabu lalu, di mana menurut perkhidmatan kecemasan, ia mengorbankan seramai 12 orang.

Semalam juga berlaku sekurang-kurangnya empat letupan berhampiran lapangan terbang tentera utama Russia di semenanjung Crimean yang dikawal Moscow. - REUTERS

Berita Harian X