Isnin, 15 Ogos 2022 | 8:36pm

UK lulus vaksin Moderna baharu tangani Omicron, varian asal

LONDON: Badan kawal selia ubat-ubatan United Kingdom (UK) hari ini meluluskan vaksin Moderna yang dikemas kini bagi melawan COVID-19 khusus varian Omicron dan juga virus asal.

Agensi Pengawal Selia Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) berkata, pihaknya meluluskan vaksin untuk dos penggalak dewasa selepas ia didapati memenuhi piawaian kawal selia UK dari segi keselamatan, kualiti dan keberkesanan.

Ia adalah vaksin bivalen COVID-19 ynag pertama diluluskan oleh agensi kawal selia Britain itu.

Ketua Eksekutif MHRA, June Raine, berkata data ujian klinikal menunjukkan ia mendorong tindak balas imun yang kuat terhadap virus asli serta Omicron dan bakal menyediakan 'alatan yang tajam' dalam gudang senjata kami disebabkan virus itu terus berkembang.

Walaupun vaksin membantu mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19, suntikan semasa bertujuan menentang virus yang asal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Julai lalu bahawa wabak itu tidak hampir untuk selesai disebabkan penyebaran subvarian Omicron dan penarikan langkah kawalan.

Separuh daripada vaksin Moderna, dipanggil Spikevax bivalen asli/Omicron, adalah untuk melawan virus asal 2020 dan separuh daripada varian Omicron (BA.1).

MHRA berkata, vaksin itu juga didapati menjana tindak balas yang baik terhadap dua subvarian Omicron iaitu BA.4 dan BA.5, yang sebahagiannya sudah mendorong gelombang kes baharu penyakit itu di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Ia juga mengatakan bahawa vaksin itu mempunyai kesan sampingan biasanya ringan sama seperti suntikan pertama Moderna.

Syarikat bioteknologi AS, Moderna pada Jun berkata, vaksin yang dipanggil bivalen itu menyasarkan strain COVID-19 asal dan Omicron BA.1 asli, berprestasi lebih baik terhadap kedua-duanya berbanding vaksin yang dipanggil Spikevax.

Badan pemantau ubat-ubatan EU turut mula mengkaji semula vaksin baharu itu termasuk suntikan yang dibangunkan oleh Pfizer/BioNTech, yang didakwa akan diluluskan pada musim luruh ini.

Suntikan Pfizer/BioNTech disesuaikan untuk jenis virus BA.4 dan BA.5.

Varian BA.4 dan BA.5 pertama kali ditemui di Afrika Selatan dan merebak dengan cepat walaupun imuniti populasi tinggi disebabkan gelombang dan vaksinasi terdahulu.

Seperti varian Omicron lain, ia cenderung mengalami perjalanan penyakit yang lebih ringan kerana virus itu tidak menghuni paru-paru dan lebih banyak di saluran hidung atas, lalu mengakibatkan gejala seperti demam, keletihan dan kehilangan bau. - AFP

Berita Harian X