Rabu, 10 Ogos 2022 | 10:36am
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

Britain kehabisan stok vaksin cacar monyet

LONDON: Britain akan kehabisan vaksin cacar monyet dalam tempoh sekitar dua hingga minggu lagi tatkala stok pelalian negara itu hanya tinggal lebih 8,300 dos, laporan Financial Times semalam.

Penghantaran tempahan baharu membabitkan 100,000 dos tidak akan disambung sehingga hujung bulan depan, kata laporan yang memetik surat dalaman Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS).

"NHS dengan segera meningkatkan kapasiti untuk menawarkan vaksin cacar monyet kepada mereka yang layak, selaras dengan panduan UKHSA (Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom).

"Sementara bekalan pada masa ini sangat terhad, NHS menjangkakan untuk menerima lebih banyak dos dalam beberapa minggu akan datang," kata jurucakap NHS kepada Reuters menerusi e-mel.

Menurut Pengarah Program Klinikal UKHSA, Dr Mary Ramsay, penularan cacar monyet global baru-baru ini secara tiba-tiba menyebabkan lonjakan mendadak permintaan bagi stok vaksin di seluruh dunia.

Pada minggu lalu, UKHSA memaklumkan terdapat petanda awal cacar monyet sedang melanda seluruh dunia dan penularan adalah meluas walaupun bergerak perlahan.

Pada Jun lalu, pihak berkuasa Britain mengesyorkan golongan gay dan biseksual lelaki yang terdedah risiko tinggi cacar monyet diberikan vaksin ketika wabak itu semakin meluas di Eropah.

Terdapat 2,768 kes cacar monyet direkodkan setakat 8 Ogos lalu, termasuk 2,639 di England, Scotland (67), Ireland Utara (25) dan Wales (37).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa iaitu amaran tahap tertinggi.

Amerika Syarikat (AS) turut menyusul dengan mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam pada minggu lalu. - AFP

Berita Harian X