Ahad, 31 Julai 2022 | 8:09am
Anggota keluarga tentera Ukraine yang ditawan ketika mempertahankan kilang besi Azovstal di Mariupol menuntut Russia diisytiharkan sebagai ‘penaja keganasan’ selepas kematian tahanan perang di Olenivka, pinggir Donetsk, akibat serangan Russia. - Foto REUTERS
Anggota keluarga tentera Ukraine yang ditawan ketika mempertahankan kilang besi Azovstal di Mariupol menuntut Russia diisytiharkan sebagai ‘penaja keganasan’ selepas kematian tahanan perang di Olenivka, pinggir Donetsk, akibat serangan Russia. - Foto REUTERS

Presiden Ukraine gesa penduduk di Donetsk berpindah

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam mengarahkan orang awam berpindah dari Donetsk selepas wilayah itu berdepan pertempuran sengit dengan tentera Russia.

Gesaan itu dibuat ketika Kyiv meminta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendapatkan akses kepada tenteranya yang ditahan oleh pasukan tentera Russia.

Wilayah timur Donetsk kini menghadapi 'asakan' terbesar Russia sejak pencerobohannya ke atas Kyiv gagal beberapa minggu lalu, sejak serangan dilancarkan bermula pada 24 Februari lalu.

Zelensky memberi amaran melalui ucapan hariannya bahawa ribuan orang, terutama wanita dan kanak-kanak, yang masih berada di medan pertempuran di rantau itu perlu diselamatkan segera.

Katanya, menurut maklumat daripada gabenor Donetsk, enam orang awam terbunuh dan 15 cedera, dalam serangan terbaru Jumaat lalu.

"Kerajaan sudah membuat keputusan berhubung pemindahan wajib dari Donetsk kerana keadaan di sana tidak selamat lagi.

"Sila berpindah dan kami akan bantu... pada peringkat sekarang, keganasan adalah senjata utama Russia," katanya menekankan gesaan pihak berkuasa untuk meninggalkan wilayah yang dikepung itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Anggota bomba memantau kawasan pasar yang musnah akibat serangan peluru berpandu Russia di Bakhmut, Donetsk, di Ukraine. - Foto REUTERS
Anggota bomba memantau kawasan pasar yang musnah akibat serangan peluru berpandu Russia di Bakhmut, Donetsk, di Ukraine. - Foto REUTERS

Dalam ucapannya, Zelensky, sekali lagi mendesak masyarakat antarabangsa, terutama Amerika Syarikat (AS), supaya mengisytiharkan Russia secara rasmi sebagai negara penaja keganasan.

Beliau mengulangi desakan itu sehari selepas penjara yang menahan tawanan perang Ukraine di Olenivka yang dikuasai Kremlin dibom, menyebabkan ramai mangsa terkorban, dengan Kyiv dan Moscow saling menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Semalam, pemimpin hak asasi manusia Ukraine, Dmytro Lubinets, melalui siaran televisyen, meminta ICRC dan Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB supaya terbang ke Olenivka.

Katanya, ICRC bagaimanapun sudah membuat permohonan itu tetapi belum mendapat kebenaran daripada Russia.

Kementerian Pertahanan Russia menuduh Kyiv menyerang penjara Olenivka dengan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan AS, sebagai strategi 'provokasi mengerikan', direka untuk menghentikan tentera yang ditangkap daripada menyerah kalah.

Katanya, mangsa yang maut termasuk tentera Ukraine yang menyerah kalah selepas berminggu-minggu menentang pengeboman kejam Russia ke atas kilang keluli Azovstal yang luas di bandar pelabuhan Mariupol.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 50 banduan Ukraine terbunuh dan 73 dibawa ke hospital akibat kecederaan serius. - AFP

Berita Harian X