Ahad, 24 Julai 2022 | 10:06pm
Antara pendatang yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Itali. - Foto AGENSI
Antara pendatang yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Itali. - Foto AGENSI

Hampir 700 pendatang diselamatkan, 5 ditemui mati

ROME: Hampir 700 pendatang, termasuk lima mayat diselamatkan di kawasan pesisir pantai Itali, semalam.

Pengawal pantai dalam kenyataan hari ini, berkata insiden berlaku ketika aliran pendatang yang melintasi Mediterranean meningkat akibat keadaan laut.

Kebanyakan daripada 674 pendatang ditemui di atas bot nelayan pada jarak kira-kira 199.6 kilometer dari pantai Calabria, Itali, manakala yang lain diselamatkan di dalam air.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sebuah kapal dagang dan pengawal pantai serta anggota penguatkuasa Itali.

Semua mangsa kemudian dipindahkan ke bandar pelabuhan di Sicily dan Calabria, pagi tadi, manakala lima yang terkorban dibawa ke bilik mayat di hospital Messina, Sicily.

Data daripada Kementerian Dalam Negeri Itali menunjukkan lebih 34,000 pencari suaka dan pendatang mendarat di negara itu sejak awal tahun, meningkat daripada kira-kira 25,500 dalam tempoh sama tahun lalu.

Negara-negara Mediterranean di laluan utama pendatang ke Eropah menjangkakan lebih 150,000 ketibaan tahun ini berikutan kekurangan makanan, disebabkan oleh konflik Ukraine mengancam gelombang penghijrahan baharu dari Afrika dan Timur Tengah.

Pagi tadi, kapal membawa bendera Norway, Ocean Viking menemui bot getah yang sesak di perairan antarabangsa di luar pantai Libya dan menyelamatkan 87 orang, termasuk 57 kanak-kanak bawah umur tanpa penjaga.

Sementara itu, dalam kes berasingan semalam, kapal mencari dan menyelamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jerman, Sea-Watch, menyelamatkan lebih 400 pendatang, termasuk beberapa kanak-kanak kecil dan dua wanita hamil yang menaiki empat bot sesak.

Menurut Sea-Watch, permukaan laut yang rata dan keadaan angin membantu ketibaan pendatang ke pantai Itali.

Di Lampedusa, lebih 400 pendatang mendarat sejak malam tadi selepas 350 orang melakukan perkara sama pada Sabtu, sekali gus membanjiri pusat penerimaan pendatang di pulau itu yang berurusan dengan lebih 1,000 orang. - REUTERS

Berita Harian X