Ahad, 24 Julai 2022 | 11:18am
Beribu-ribu menunggu untuk sampai ke Eropah melalui pelabuhan Selat Inggeris, Dover yang didakwa disebabkan oleh kekurangan kakitangan. - Foto AGENSI
Beribu-ribu menunggu untuk sampai ke Eropah melalui pelabuhan Selat Inggeris, Dover yang didakwa disebabkan oleh kekurangan kakitangan. - Foto AGENSI

Brexit dipersalahkan ekoran isu kelewatan di pelabuhan Dover

LONDON: Kumpulan kesatuan, pegawai pelabuhan dan pihak berkuasa Perancis menyalahkan isu Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit susulan ribuan pelancong berdepan kelewatan dalam tempoh yang panjang semalam untuk sampai ke Eropah melalui pelabuhan Dover di perairan Selat Inggeris.

Bagaimanapun, Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Liz Truss meletakkan kesalahan itu ke atas Paris dan memberitahu rakan sejawatnya dari Perancis, Catherine Colonna 'pihak berkuasa Perancis tidak menempatkan kakitangan yang mencukupi di sempadan'.

Situasi itu memburukkan lagi pergeseran di antara London dan Paris susulan isu Brexit, khususnya selepas Boris Johnson awal bulan ini memaklumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

"Kita perlu melihat tindakan daripada mereka (Perancis) untuk menyelesaikan situasi buruk yang sedang dihadapi pengembara, termasuk keluarga ketika ini," katanya yang kini berjuang untuk menggantikan Johnson sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Paris menolak dakwaan kesesakan itu disebabkan faktor kekurangan kakitangan.

Colonna dalam ciapan menerusi Twitter menyifatkan perbincangan berlangsung secara baik selain mengalu-alukan 'kerjasama' untuk mengurangkan isu kelewatan berkenaan.

Colonna turut menekankan 'keperluan untuk menambah baik kemudahan di Pelabuhan Dover'.

Pemeriksaan sempadan dan kertas kerja tambahan untuk trafik barangan telah diperkenalkan semula apabila Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu, sekali gus menamatkan pergerakan bebas orang ramai dan barangan di blok itu.

Sejak itu, kesesakan lori di Dover turut meningkat, namun buat pertama kalinya pada musim panas tahun ini, perjalanan tanpa had dibenarkan untuk orang ramai sejak penarikan semua sekatan COVID-19.

Sementara itu, Ahli parlimen Perancis, Pierre-Henri Dumont mengaitkan situasi huru-hara di pelabuhan itu 'akibat daripada Brexit'.

"Kami perlu menjalankan lebih banyak pemeriksaan berbanding sebelum ini," katanya kepada televisyen BBC dan turut meramalkan situasi itu akan berulang semula.

Dalam pada itu, Ketua eksekutif Pelabuhan Dover, Doug Bannister pada mulanya menyalahkan kekurangan kakitangan agensi sempadan Perancis sebagai punca kesesakan yang mengakibatkan pelancong menunggu selama enam jam atau lebih untuk menaiki feri.

Bagaimanapun, beliau mengaku kini terdapat 'peningkatan masa transaksi' selepas Brexit dan yakin pelabuhan itu dapat mengendalikan permintaan secara sistematik pada waktu puncak. - AFP

Berita Harian X