Khamis, 21 Julai 2022 | 11:05am
Gambar fail menunjukkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berdiri di sisi Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) M142 ketika Pameran Pertahanan Antarabangsa di Riyadh, Arab Saudi. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berdiri di sisi Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) M142 ketika Pameran Pertahanan Antarabangsa di Riyadh, Arab Saudi. - Foto AFP

AS hantar lebih banyak sistem roket ke Ukraine

KYIV: Amerika Syarikat (AS) semalam berjanji menghantar lebih banyak sistem roket ketepatan tinggi ke Kyiv, selepas Moscow memberi bayangan akan menawan lebih banyak wilayah Ukraine melepasi wilayah industri Donbas.

Pengumuman itu dibuat ketika Suruhanjaya Eropah menggesa anggota Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan permintaan gas asli bagi mengatasi kebergantungan kepada tenaga Russia, selain blok itu bersetuju menguatkuasakan sekatan import emas Russia.

Ketua Pentagon, Lloyd Austin, berkata Washington akan menghantar empat lagi Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) M142, yang berjaya meningkatkan keupayaan Kyiv di medan perang sejak beberapa minggu lalu, yang membolehkan tentera Ukraine menyerang sasaran Russia dari jarak jauh.

"Ukraine perlukan senjata dan peluru untuk bertahan daripada serangan, serta menyerang balas, setakat ini AS sudah hantar 16 Himars ke Kyiv," katanya.

Terdahulu, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, dalam satu temu bual memaklumkan, tumpuan tentera Moscow kini tidak hanya tertumpu pada wilayah Lugansk dan Donetsk, yang separuhnya dikawal pemberontak pro-Moscow sejak bertahun lamanya.

"Geografinya berbeza sekarang, ia bukan lagi mengenai Lugansk dan Donetsk, tapi juga membabitkan wilayah Kherson, Zaporizhzhia dan beberapa kawasan lain," katanya.

Sejak pencerobohan Ukraine pada 24 Februari lalu, tentera Russia bergerak maju ke wilayah berkenaan, dan mencetus kemusnahan ketika menawan beberapa bandar utama selain berdepan pertahanan sengit Ukraine.

Sejak beberapa minggu lalu, Russia turut menyerang sasaran awam Ukraine di beberapa bandar dan pekan yang terletak jauh dari medan perang, menyebabkan sejumlah orang awam terbunuh, dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkannya sebagai kempen keganasan.

Kemajuan berterusan tentera Russia di timur Ukraine dicatatkan selepas Moscow gagal mengawal Kyiv ketika peringkat awal peperangan, yang menyaksikan tenteranya terpaksa berundur dari bandar Kharkiv.

Dalam pada itu, EU kini menyasarkan eksport emas dan aset Russia yang dibekukan di bank terbesar Russia, Sberbank, dalam pakej penalti terbarunya semalam.

Brussels turut meminta anggota EU mengurangkan permintaan gas asli sebanyak 15 peratus bagi mengehadkan bekalan dari Russia, yang merangkumi 40 peratus import EU tahun lalu.

Namun, Zelensky menyelar langkah itu dengan menyifatkannya sebagai tidak mencukupi, dan menegaskan 'Russia perlu membayar harga lebih mahal bagi memaksa negara itu berdamai'. - AFP

Berita Harian X