Selasa, 19 Julai 2022 | 9:39pm
Kakitangan perubatan melakukan ujian calitan COVID-19 pada pesakit di sebuah pusat ujian di Les Sorinieres, dekat Nantes, Perancis. - Foto REUTERS
Kakitangan perubatan melakukan ujian calitan COVID-19 pada pesakit di sebuah pusat ujian di Les Sorinieres, dekat Nantes, Perancis. - Foto REUTERS

COVID-19: WHO Eropah beri amaran cabaran musim luruh, sejuk

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah memberi amaran musim luruh dan sejuk mungkin 'mencabar' berdasarkan peningkatan ketara kes COVID-19 ketika musim panas dan kekurangan pengawasan dalam kalangan negara anggota.

Amaran itu disertai dengan gesaan daripada badan kesihatan supaya semua negara segera menangani jurang pemantauan dan tindak balas wabak untuk mengelakkan kematian yang boleh dicegah serta gangguan kesihatan yang teruk.

Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge, berkata perkara yang sama sudah ditekankan pada tahun lalu apabila varian Delta melanda ketika sekatan dilonggarkan.

"Sekarang, jelas sekali kita berada dalam keadaan yang sama seperti musim panas yang lalu, cuma kali ini gelombang COVID-19 yang berterusan didorong oleh subvarian Omicron," katanya.

Peningkatan ketara kes coronavirus mungkin akan berlaku pada musim sejuk dan luruh, sekali gus memerlukan persiapan menghadapi gelombang segera dilakukan.

Antara strategi utama ialah peningkatan pengambilan vaksin dalam kalangan penduduk awam, dos penggalak kedua untuk orang yang terjejas imun, kemungkinan penggalak kedua kepada kumpulan berisiko tertentu dan penggunaan pelitup muka di dalam rumah dan dalam pengangkutan awam.

Kluge berkata, jumlah jangkitan baharu di kawasan WHO Eropah iaitu 53 negara dan wilayah termasuk beberapa di Asia Tengah, meningkat tiga kali ganda dalam tempoh enam minggu lalu.

Wilayah itu merekodkan 2,585,734 kes dalam tempoh tujuh hari lalu.

Pertubuhan itu menyatakan, walaupun kadar kemasukan ke hospital meningkat dua kali ganda dalam tempoh yang sama, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) kekal rendah.

"Namun, apabila kadar jangkitan dalam kumpulan yang lebih tua terus meningkat, Eropah mencatatkan hampir 3,000 kematian setiap minggu," katanya.

Minggu lalu, WHO Eropah mengesyorkan suntikan penggalak kedua vaksin COVID-19 untuk orang yang berumur lebih 60 tahun. - AFP

Berita Harian X