Jumaat, 15 Julai 2022 | 12:15pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

25 juta kanak-kanak terlepas vaksinasi rutin akibat pandemik

LONDON: Kira-kira 25 juta kanak-kanak seluruh dunia terlepas vaksinasi rutin untuk melindungi diri daripada penyakit yang mengancam nyawa, tahun lalu, ketika pandemik COVID-19 terus menjejaskan penjagaan kesihatan global.

Jumlah itu mencatat peningkatan kira-kira dua juta kanak-kanak berbanding 2020 tatkala pandemik berkenaan menyebabkan perintah berkurung terpaksa dilaksanakan di serata dunia, dan bertambah enam juta berbanding ketika prapandemik pada 2019.

Perkembangan membimbangkan itu didedahkan dalam perangkaan baharu dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

UNICEF menyifatkan penyusutan liputan pelalian itu sebagai kemerosotan berterusan yang terbesar dalam vaksinasi kanak-kanak dalam tempoh satu generasi, menjadikan kadar liputan menurun kepada tahap yang tidak pernah berlaku sejak awal 2000-an.

Ramai menaruh harapan untuk menyaksikan beberapa pemulihan pada 2021 selepas setahun pandemik melanda, namun keadaan sebenar kian buruk.

"Situasi ini adalah krisis kesihatan kanak-kanak," kata pakar imunisasi kanan UNICEF, Niklas Danielsson.

Agensi itu memaklumkan, fokus terhadap kempen imunisasi COVID-19 pada 2021 berserta kelembapan ekonomi dan tekanan dialami sistem penjagaan kesihatan, telah menghalang pemulihan yang lebih cepat untuk vaksinasi rutin.

Perangkaan terbabit menunjukkan liputan vaksinasi rutin itu menurun di setiap rantau, yang dianggar menggunakan data pengambilan suntikan pelalian tiga dos bagi difteria, tetanus dan pertusis (DTP3).

Ia meliputi kanak-kanak yang tiada menerima suntikan langsung dan mereka yang terlepas mana-mana satu daripada tiga dos berkenaan yang diperlukan untuk melindungi kesihatan mereka.

Secara global, liputan vaksinasi rutin itu menurun sebanyak lima peratus, menjadi 81 peratus pada tahun lalu.

Data itu turut menunjukkan bilangan kanak-kanak 'sifar dos' atau tiada menerima sebarang vaksinasi, meningkat sebanyak 37 peratus antara 2019 hingga 2021, daripada 13 juta kepada 18 juta kanak-kanak yang kebanyakannya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Lebih 90 peratus kanak-kanak memerlukan pelalian bagi mencegah jangkitan wabak tertentu. Bagaimanapun, kes membabitkan penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin, dilaporkan meningkat dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk lonjakan 400 peratus dalam kes campak di Afrika pada tahun ini.

Tahun lalu, 24.7 juta kanak-kanak terlepas dos pertama vaksin campak, dan seterusnya 14.7 juta tidak menerima dos kedua, menurut data itu. Liputan vaksinasi adalah 81 peratus, iaitu yang terendah sejak 2008.

Perangkaan itu adalah berdasarkan data diperoleh daripada sistem kesihatan kebangsaan di 177 negara. - REUTERS

Berita Harian X