Khamis, 14 Julai 2022 | 9:19pm
Pelancong melihat kepulan asap hitam dari pesisir pantai Arcachon dari terminal Andernos-les-Bains, akibat kebakaran hutan di barat daya Perancis. - Foto AFP
Pelancong melihat kepulan asap hitam dari pesisir pantai Arcachon dari terminal Andernos-les-Bains, akibat kebakaran hutan di barat daya Perancis. - Foto AFP

Barat daya Perancis terus dijilat api

PARIS: Kira-kira 1,000 anggota bomba giat menggunakan enam pesawat pengebom air bagi memadamkan dua kebakaran di barat daya Perancis, yang setakat ini sudah memusnahkan hampir 4,000 hektar kawasan hutan.

"Sehingga kini, kebakaran belum terkawal, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," kata Pihak Berkuasa Tempatan Gironde, di mana lokasi kebakaran bermula pada Selasa lalu dan masih belum berjaya dipadamkan.

Perancis yang sebelum ini mengalami beberapa siri kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu, menempuh kesengsaraan sama seperti negara Eropah lain yang sudah berbulan-bulan dilanda gelombang haba.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, sejak awal tahun ini, kira-kira 15,000 hektar hutan musnah terbakar, berbanding kurang daripada 1,000 hektar pada tempoh sama tahun lalu.

"Sembilan daripada 10 kebakaran itu berpunca daripada kecuaian manusia," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Di lokasi lain di Eropah, semalam, ribuan anggota bomba bertungkus-lumus memadam dan mengawal lebih 20 kebakaran di seluruh Portugal dan barat Sepanyol, yang mengancam kampung dan menjejaskan industri pelancongan.

Musibah berpunca daripada gelombang haba itu mengakibatkan suhu meningkat melebihi 45 darjah Celsius di beberapa wilayah.

Kebakaran hutan terbesar adalah di sekitar bandar Landiras yang terletak di selatan Bordeaux, menyebabkan jalan raya ditutup dan 500 penduduk dipindahkan, selepas api . memusnahkan 2,100 hektar hutan.

Satu lagi kebakaran hutan adalah di sepanjang pantai Atlantik iaitu berhampiran dengan lokasi ikonik 'Dune du Pilat', bukit pasir tertinggi di Eropah yang terletak di kawasan Teluk Arcachon, di mana kepulan asap hitam menjulang tinggi ke udara.

Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 1,750 hektar dan memaksa 6,000 penduduk dari lima tapak perkhemahan sekitarnya dipindahkan dan seramai 60 orang lagi dipindahkan awal pagi tadi. - REUTERS

Berita Harian X