Isnin, 11 Julai 2022 | 8:55pm
Kira-kira 40 migran menaiki bot berhampiran bandar utara Perancis di Gravelines sebelum cuba menyeberang secara haram ke Britain. - AFP
Kira-kira 40 migran menaiki bot berhampiran bandar utara Perancis di Gravelines sebelum cuba menyeberang secara haram ke Britain. - AFP

Cubaan migran menyeberang ke Britain masih berterusan

PARIS: Kira-kira 40 migran menaiki bot pelampung menuju Britain hari ini selepas berlepas dari pantai Perancis.

Ia menjadi isyarat bahawa cubaan menyeberang tetap diteruskan walaupun kedua-dua negara berusaha membanteras kegiatan itu.

Seorang wartawan AFP melihat bagaimana kumpulan berkenaan mengangkat bot besar yang diletakkan pada bahu mereka merentasi pantai berhampiran Gravelines di utara Perancis. Mereka mengapungkan bot itu di perairan Channel sebelum menaikinya.

Ramai kalangan migran itu memakai jaket keselamatan berwarna merah dan turut dilihat golongan wanita dan kanak-kanak dalam bot yang majoritinya dinaiki migran lelaki.

Percubaan terbaharu itu berlaku walaupun Perancis dan British menjalin kerjasama untuk membanteras kegiatan penyeludupan manusia.

Bulan lalu, polis Perancis menjalankan serbuan terhadap suspek yang disyaki dalang insiden lemas membabitkan migran yang berlaku pada November tahun lalu.

Dalam tragedi itu, sejumlah besar migran yang berhasrat menyeberang ke Britain disahkan mati lemas.

Setakat ini, 10 suspek berdepan pertuduhan, termasuk pembunuhan beramai-ramai atas kematian 27 individu berusia tujuh hingga 47 tahun.

Kira-kira 40 migran mengusung bot berhampiran bandar utara Perancis di Gravelines sebelum cuba menyeberang secara haram ke Britain. - AFP
Kira-kira 40 migran mengusung bot berhampiran bandar utara Perancis di Gravelines sebelum cuba menyeberang secara haram ke Britain. - AFP

Hanya dua terselamat dalam bencana itu yang turut disifatkan insiden terburuk sejak penyeberangan migran meningkat pada 2018. Ia sekali gus mencetuskan ketegangan baharu antara London dan Paris.

Percubaan Britain untuk mula menghantar pulang pencari suaka ke Rwanda, bertujuan menghalang kegiatan itu ditolak mahkamah.

Kementerian Dalam Negeri Perancis merekodkan 777 percubaan menyeberang antara 1 Januari hingga 13 Jun tahun ini, membabitkan lebih 20,000 migran. Ia dilaporkan meningkat 68 peratus untuk tempoh sama pada 2020.

Perancis mendakwa pasukan keselamatannya menghalang 61 peratus cubaan menyeberang tahun ini, peningkatan 4.2 peratus berbanding tahun lalu. - AFP

Berita Harian X