Sabtu, 9 Julai 2022 | 2:17pm
Orang ramai beratur di luar Klinik Kesihatan Seksual Chelsea di New York, Amerika Syarikat (AS), salah satu daripada dua klinik menawarkan vaksin cacar monyet di bandar yang menyaksikan jangkitan berlipat ganda dalam seminggu. - Foto AFP
Orang ramai beratur di luar Klinik Kesihatan Seksual Chelsea di New York, Amerika Syarikat (AS), salah satu daripada dua klinik menawarkan vaksin cacar monyet di bandar yang menyaksikan jangkitan berlipat ganda dalam seminggu. - Foto AFP

Perancis gesa imunisasi cacar monyet diperluaskan

PARIS: Pihak berkuasa kesihatan Perancis menggesa imunisasi awalan cacar monyet kepada segmen tertentu penduduk, terutama golongan paling berisiko tinggi dan kerap bertukar pasangan seksual.

Badan khidmat nasihat kesihatan, HAS, dalam satu kenyataan berkata lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis adalah kumpulan terbesar dijangkiti cacar monyet.

"Selain itu, mereka yang sering bertukar pasangan seks, melakukan hubungan seks sejenis selain transgender, pekerja seks dan individu bekerja di tempat menawarkan khidmat seks juga adalah antara kumpulan yang paling terdedah kepada virus itu," katanya.

Justeru, selain menawarkan imunisasi susulan jangkitan yang disahkan atau berisiko mendapat jangkitan, badan penasihat itu kini mengesyorkan tawaran imunisasi pra-pendedahan kepada ketiga-tiga kumpulan berkenaan.

Setakat ini, 577 kes cacar monyet dikesan di Perancis, termasuk 387 di wilayah Ile-de-France yang merangkumi ibu kota, Paris.

Susulan tekanan daripada kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) serta kumpulan kesihatan, Kementerian Kesihatan minggu lalu meminta HAS menyemak garis panduan imunisasi.

Cacar monyet menyebabkan demam, sakit kepala, sakit otot dan belakang selama beberapa hari sebelum ruam, luka, bintik dan akhirnya kudis muncul pada kulit.

Terdapat lonjakan jangkitan sejak awal Mei di Afrika Barat dan Tengah di mana penyakit itu sudah sekian lama menjadi endemik.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Khamis lalu berkata, lelaki yang tidur dengan lelaki menyumbang tiga daripada lima daripada lebih 6,000 jangkitan monyet dari 59 negara.

Ujian genom menunjukkan wabak semasa adalah sejenis cacar monyet Afrika Barat, yang lebih ringan berbanding varian cacar monyet dari Lembangan Congo.

Data Perancis menunjukkan pada awal Julai, lelaki yang melakukan hubungan homoseksual menyumbang kepada 97 peratus daripada kes, di mana data mengenai kehidupan seks pesakit sudah tersedia.

Sementara itu, 75 peratus adalah dalam kalangan individu yang mempunyai banyak pasangan dalam beberapa minggu sebelum jangkitan dikesan.

HAS mengingatkan bahawa cacar monyet boleh berjangkit melalui sentuhan kulit ke kulit oleh individu yang sudah menunjukkan ruam atau kudis, serta melalui air liur dan titisan pernafasan.

Menurut badan itu, orang ramai boleh mendapat risiko dengan menyentuh kulit yang rosak pada individu yang dijangkiti atau jika menghabiskan lebih tiga jam dalam jarak dua meter daripada mereka.

Penularan yang mudah menjadikan pengesanan rantaian jangkitan sukar, terutama dalam kes di mana orang ramai bebas melakukan hubungan seks.

"Berdepan dengan penyebaran virus, kinetik wabak dan kesukaran mengesan kenalan, vaksinasi pencegahan awalan yang bersasar adalah pilihan terbaik.

"Bagi pekerja kesihatan menjaga mereka yang menghidap cacar monyet, langkah kebersihan rutin dan memakai peralatan pelindung diri mengurangkan risiko jangkitan sangat.

"Dengan cara ini, vaksin boleh diberi kepada kumpulan berisiko tinggi berdasarkan kes demi kes," kata HAS - AFP

Berita Harian X