Khamis, 7 Julai 2022 | 9:32am
pasukan penyelamat Ukraine membersihkan runtuhan bangunan yang musnah akibat bedilan tentera Russia di Kharkiv, Ukraine, yang kini menjadi tumpuan baharu pengeboman. - Foto EPA
pasukan penyelamat Ukraine membersihkan runtuhan bangunan yang musnah akibat bedilan tentera Russia di Kharkiv, Ukraine, yang kini menjadi tumpuan baharu pengeboman. - Foto EPA

Pemindahan orang awam keluar dari Donbas disegerakan

SLOVIANSK: Proses pemindahan orang awam dari Sloviansk disegerakan semalam, ketika tentera Russia bergerak menuju ke utara bandar Ukraine itu, dalam usaha merampas kawalan di wilayah Donbas.

Sloviansk diserang dengan pengeboman bertubi-tubi ketika tentera Russia terus bergerak ke arah barat pada hari ke-133 pencerobohan.

Wartawan AFP melihat bedilan roket menyasarkan pasar dan kawasan persekitaran di Sloviansk, dengan anggota bomba bergelut memadam kebakaran akibat serangan itu.

Kira-kira satu pertiga daripada pasar itu musnah dan penduduk tempatan memeriksa sisa daripada kemusnahan berkenaan, namun kawasan yang terselamat masih boleh berfungsi, dengan sejumlah penduduk membeli buah dan sayur di pasar itu.

Datuk Bandar Sloviansk, Vadym Lyakh, berkata kira-kira 23,000 daripada 110,000 penduduk masih berada di Sloviansk, dan mendakwa Russia masih gagal mengepung bandar itu.

"Sejak serangan bermula, 17 penduduk terkorban dan 67 cedera. Proses pemindahan masih berjalan. Kami membawa keluar penduduk setiap hari ke bandar Dnipro menggunakan bas.

"Bandar ini masih kukuh. Russia dilihat tidak dapat bergerak maju ke dalam bandar ini," katanya.

Donbas merangkumi sebahagian besar wilayah Lugansk, yang hampir berjaya ditawan sepenuhnya tentera Russia, manakala Donetsk menjadi tumpuan serangan Moscow dan menempatkan bandar Sloviansk.

Kejatuhan bandar Lysychansk di Lugansk Ahad lalu, seminggu selepas tentera Ukraine berundur daripada bandar Severodonetsk, kini membebaskan tentera Russia untuk misi lain.

Gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko, berkata tentera Russia membunuh lima orang awam dan mencederakan 21 yang lain di wilayah itu, Selasa lalu.

Gabenor Lugansk, Sergiy Gayday, pula menegaskan Russia tidak mengawal sepenuhnya wilayah itu, dan memaklumkan pertempuran masih berlangsung di dua perkampungan.

Dalam pada itu, semalam Kesatuan Eropah meningkatkan usaha menghentikan sama sekali bekalan bahan api dari Russia, sebagai tekanan untuk menghentikan pencerobohan Ukraine.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, memaklumkan perkara itu kepada Parlimen Eropah semalam ketika mengumumkan pelan bernilai 300 bilion euro (RM1.35 trilion) untuk berhenti mendapatkan bekalan bahan api dari Russia.

Sementara itu, Parlimen Russia semalam meluluskan hukuman penjara lebih berat terhadap sesiapa yang bertindak mengancam keselamatan negara atau 'bekerjasama' dengan kuasa asing bagi menentang kepentingan Russia.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev, tidak menolak kemungkinan berlaku perang nuklear sekiranya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mahu meneruskan pendakwaan jenayah perang dilakukan Russia di Ukraine.

"Hasrat mahu menghukum sebuah negara negara simpanan senjata nuklear terbesar ini langsung tidak masuk akal dan mengancam dunia secara keseluruhan," katanya yang juga sekutu rapat Presiden Russia, Vladimir Putin. - AFP

Berita Harian X