Sabtu, 2 Julai 2022 | 9:16am
 Foto AFP
Foto AFP

Gejala cacar monyet berbeza dengan wabak sebelumnya - Kajian UK

LONDON: Pesakit cacar monyet di United Kingdom (UK) dikesan mempunyai simptom berbeza berbanding wabak sebelum ini hingga mewujudkan kebimbangan kes terlepas pandang.

Menurut kajian terhadap 54 pesakit di klinik kesihatan seksual London pada Mei lalu, pesakit dilaporkan kurang demam dan keletihan, sebaliknya lebih banyak luka pada kulit di kawasan kemaluan dan dubur berbanding simptom biasa kes cacar monyet.

Penyelidikan dari London, yang diterbitkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Lancet turut mengikuti cadangan badan kesihatan awam seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat bahawa wabak yang merebak terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki itu menunjukkan simptom luar biasa.

Penulis dari beberapa institusi termasuk Chelsea & Westminster Hospital NHS Foundation Trust, berkata definisi kes harus dikaji semula untuk mengelakkan kes terlepas pandang, terutamanya kerana cacar monyet boleh "meniru" jangkitan seksual (STI) biasa lain seperti herpes dan sifilis.

Kajian itu juga mendapati bahawa satu perempat daripada pesakit cacar monyet adalah HIV positif dan satu perempat lagi mempunyai STI.

"Terlepas diagnos jangkitan mungkin menghalang peluang untuk intervensi yang sesuai dan pencegahan penularan," kata Dr Ruth Byrne.

Cacar monyet, penyakit virus endemik yang agak ringan di beberapa negara di barat dan tengah Afrika, telah menyebabkan lebih 5,000 kes dan satu kematian di luar kawasan terutamanya di Eropah sejak awal Mei.

Kes itu juga meningkat di negara-negara di mana ia lebih kerap merebak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Cacar monyet merebak melalui kontak rapat dan penyelidik sedang berusaha untuk menentukan sama ada ia juga boleh disebarkan melalui air mani, definisi klasik penularan seksual.

Ahli epidemiologi penyakit berjangkit dan penasihat WHO mengenai wabak itu, David Heymann, berkata adalah penting untuk mengawal penularan tanpa stigma terhadap mereka yang terjejas.

"Itu termasuk bekerja dengan populasi yang paling berisiko untuk cuba membantu mereka memahami betapa mudahnya mencegah jangkitan ini hanya dengan mengelakkan sentuhan fizikal di kawasan kemaluan apabila terdapat ruam," katanya kepada Reuters. - REUTERS

Berita Harian X