Sabtu, 2 Julai 2022 | 8:46am
Foto AFP
Foto AFP

WHO gesa tindakan segera atasi cacar monyet di Eropah

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa tindakan segera bagi mencegah penyebaran cacar monyet di Eropah berikutan rantau itu menyaksikan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh dua minggu.

"Hari ini, saya memperhebatkan gesaan supaya kerajaan dan masyarakat sivil meningkatkan usaha... untuk mengelakkan cacar monyet daripada bertapak di kawasan geografi lebih luas.

"Tindakan segera dan diselaraskan adalah penting dalam mengatasi penularan penyakit yang berterusan," kata Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Henri Kluge.

Sejak awal Mei, lonjakan kes cacar monyet dikesan di luar Afrika Barat dan Tengah yang mana penyakit virus itu bersifat endemik.

Sembilan puluh peratus daripada semua kes yang disahkan makmal yang didaftarkan di seluruh dunia atau 4,500 jangkitan dilaporkan di Eropah, kata Kluge.

Sebanyak 31 negara dan kawasan kini melaporkan jangkitan dengan Eropah kekal sebagai pusat wabak yang semakin meluas dan risikonya kekal tinggi.

Setakat ini WHO tidak menganggap wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan dunia tetapi akan meneliti semula status itu tidak lama lagi, katanya.

Kebanyakan jangkitan cacar monyet setakat ini dikesan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, usia muda dan terutamanya di kawasan bandar, menurut WHO.

Organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedang menyiasat kemungkinan penularan kes daripada aktiviti seksual tetapi mengekalkan punca utama penyakit itu merebak melalui kontak rapat.

Cacar monyet dikaitkan dengan cacar, yang membunuh jutaan penduduk dunia setiap tahun sebelum ia dibasmi pada 1980, tetapi mempunyai simptom yang jauh lebih teruk.

Penyakit itu bermula dengan demam dan cepat berkembang menjadi ruam dengan pembentukan kudis. Ia biasanya ringan dan kebiasaannya hilang secara spontan selepas dua hingga tiga minggu.

Britain mempunyai jumlah kes tertinggi yang dilaporkan setakat ini dengan 1,076 menurut pihak berkuasa United Kingdom (UK) mendahului Jerman (838), Sepanyol (736), Portugal (365) dan Perancis (350), menurut data dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Ketua doktor kesihatan awam London, Kevin Fenton pada Khamis menggesa individu yang mempunyai gejala untuk tidak mengambil bahagian dalam perarakan Pride di ibu negara Britain pada hujung minggu.

Pada Jumaat, makmal Denmark, Bavarian Nordic, satu-satunya makmal yang mengeluarkan vaksin berlesen terhadap cacar monyet, mengumumkan penghantaran baharu sebanyak 2.5 juta dos ke Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa kesihatan AS pada Selasa berkata pihaknya menyegerakan pengedaran 56,000 dos vaksin cacar monyet, lima kali ganda jumlah yang diedarkan setakat ini ke kawasan penularan tinggi sebagai sebahagian daripada peningkatan besar-besaran strategi imunisasi negara.

Agensi Ubat Eropah mengumumkan pada Selasa bahawa ia telah mula mengkaji semula vaksin cacar untuk melanjutkan penggunaannya terhadap cacar monyet. - AFP

Berita Harian X