Jumaat, 1 Julai 2022 | 10:45am
Upacara menaikkan bendera diadakan di Dataran Golden Bauhinia bagi memperingati ulang tahun ke 25 kepulangan Hong Kong, bekas tanah jajahan British, kepada China. - Foto REUTERS
Upacara menaikkan bendera diadakan di Dataran Golden Bauhinia bagi memperingati ulang tahun ke 25 kepulangan Hong Kong, bekas tanah jajahan British, kepada China. - Foto REUTERS

UK tidak 'menyerah kalah' berhubung Hong Kong

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menyelar Beijing kerana gagal menunaikan janjinya mengekalkan autonomi Hong Kong dan menyatakan Britain 'tidak menyerah kalah' dalam isu membabitkan kebebasan pulau itu.

"Kami membuat janji kepada wilayah itu dan rakyatnya, kami berhasrat untuk menepatinya, melakukan semua yang kami mampu untuk memegang China pada komitmennya

"Kita tidak boleh mengelak fakta bahawa sejak sekian lama, Beijing gagal mematuhi kewajipannya.

"Ini mengancam hak dan kebebasan warga Hong Kong serta kemajuan dan kemakmuran yang berterusan di 'rumah' mereka," katanya ketika ulang tahun ke-25 penyerahan bandar itu kepada China, menyusuli lawatan pemimpin China, Xi Jinping, ke Hong Kong.

Ulang tahun pada hari ini menandakan titik pertengahan model tadbir urus 50 tahun yang dipersetujui oleh Britain dan China, dengan bandar itu akan mengekalkan beberapa autonomi dan kebebasan.

Bagaimanapun, London kini semakin kritikal terhadap pemerintahan China di bandar itu selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang keras pada 2020 berikutan protes besar dan ada kalanya ganas di Hong Kong pada tahun sebelumnya.

Sebagai tindak balas, UK mula menawarkan laluan kewarganegaraan untuk pemegang pasport Kebangsaan British (Luar Negara) dan keluarga mereka dari bandar berkenaan.

"Tidak menghairankan bahawa 120,000 warga Hong Kong dan keluarga mereka menggunakan laluan itu," kata Johnson dalam ucapannya menerusi video.

Beliau turut mengatakan, Britain adalah 'tempat di mana kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan dihormati serta tidak dianggap sebagai jenayah' - meskipun pengkritik menuduh kerajaannya kini melayan protes dengan cara yang semakin kejam.

Awal semalam, ketika lawatan pertamanya sejak pergerakan demokrasi hab perniagaan itu dihancurkan pada 2020, Xi berkata Hong Kong 'dilahirkan semula daripada api dan muncul dengan daya hidup yang teguh'.

"Fakta membuktikan bahawa Satu Negara, Dua Sistem mempunyai daya hidup yang hebat," katanya merujuk kepada ikrar Beijing yang dibuat pada 1997 bahawa bandar itu akan mengekalkan tahap autonomi yang tinggi dan kuasa kehakiman yang bebas.

Ia juga bersetuju bahawa pemimpin Hong Kong akan dilantik oleh Beijing berdasarkan pilihan raya tempatan atau perundingan.

Bagaimanapun, seperti Johnson, Setiausaha Luar UK, Liz Truss, berkata terdapat 'hakisan berterusan hak politik dan sivil' di Hong Kong sejak dua tahun lalu.

"Pihak berkuasa menyekat pembangkang, perbezaan pendapat dianggap sebagai jenayah dan menghalau sesiapa saja yang bercakap benar membantah pihak berkuasa.

"UK terus berdiri teguh dengan Hong Kong," kata Truss, sambil menyatakan London 'bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi sebagai sebahagian daripada rangkaian kebebasan global untuk memastikan China mematuhi kewajipan antarabangsanya' - AFP

Berita Harian X