Rabu, 29 Jun 2022 | 8:09am
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI

Satu pertiga kes cacar monyet di dunia dilapor di UK

LONDON: Data terkini yang diterbitkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) semalam, menunjukkan angka sah kes cacar monyet di Britain mencecah sebanyak 1,076.

Menurut UKHSA, setakat 26 Jun lalu terdapat 1,076 kes sah makmal di Britain.

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kes adalah di Scotland, Ireland Utara (5), Wales (9) dan England (1,035).

Sejak kemas kini terdahulu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Jun lalu, pada waktu itu terdapat 1,310 kes baharu direkodkan dengan lapan kes negara baharu dilaporkan.

Ia bermaksud hampir satu pertiga daripada semua kes di seluruh dunia dilaporkan sejak penularan wabak hingga kini mula muncul di Britain.

Dalam kemas kini terbaru kelmarin, WHO berkata sejak 1 Januari dan 22 Jun lalu, terdapat 3,413 kes sah makmal serta satu kes kematian dilaporkan kepada pertubuhan kesihatan itu.

Ia membabitkan 50 negara dan jajahan di lima wilayah WHO.

Majoriti kes sah makmal iaitu 2,933 daripada 3,413 kes adalah dari wilayah WHO Eropah. Ia direkodkan sekitar 86 peratus.

"Wabak cacar monyet di UK terus berkembang dengan lebih 1,000 kes sah di seluruh negara," kata Pengarah Insiden UKHSA, Sophia Makki sambil menambah pihaknya menjangkakan kes akan terus meningkat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Makki juga menyarankan individu yang menghadiri acara besar pada musim panas ini atau mengadakan hubungan seks dengan pasangan masing-masing supaya berwaspada dengan sebarang gejala cacar monyet.

Selain itu, mereka juga disarankan supaya menjalankan ujian pantas untuk membantu membendung penularan wabak berkenaan kepada individu lain.

Ketika ini, majoriti kes di Britain membabitkan lelaki gay, biseksual atau mengadakan hubungan seks dengan lelaki.

Namun, UKHSA berkata sesiapa saja yang mempunyai kontak rapat dengan individu bergejala turut berisiko tinggi.

Dengan program meluas meliputi acara muzik pada musim panas, Makki berkata sekiranya individu bimbang mereka dijangkiti cacar monyet disarankan supaya tidak hadir ke acara berkenaan dan bertemu rakan-rakan serta mempunyai kontak seksual. - AGENSI

Berita Harian X