Jumaat, 24 Jun 2022 | 6:07pm
Seorang wanita berjalan melintasi sebuah bangunan kediaman di bandar Siversk, wilayah Donetsk di Ukraine yang musnah di bom tentera Russia. - Foto AFP
Seorang wanita berjalan melintasi sebuah bangunan kediaman di bandar Siversk, wilayah Donetsk di Ukraine yang musnah di bom tentera Russia. - Foto AFP

Tentera Ukraine bakal berundur dari bandar Sievierodonetsk

KYIV: Ukraine hari ini memberi isyarat berhubung pengunduran tenteranya dari bandar Sievierodonetsk, iaitu lokasi pertempuran sengit yang berlanjutan selama berminggu-minggu.

Langkah itu memperlihatkan kelemahan ketara dalam perjuangan Ukraine untuk mengalahkan tentera Russia.

Gabenor wilayah Luhanks, Serhiy Gaidai, berkata tentera di bandar itu sudah menerima arahan untuk berpindah ke kedudukan baharu tetapi tidak menyatakan sama ada mereka sudah berbuat demikian atau ke mana sebenarnya kumpulan tentera akan ditempatkan.

"Kekal dalam kedudukan yang sudah berdepan kehancuran selama beberapa bulan hanya untuk terus berada di sana adalah tidak masuk akal.

"Tentera Ukraine 'perlu berundur'," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Ucapan Gaidai itu dibuat genap empat bulan selepas Presiden Russia, Vladimir Putin, menghantar puluhan ribu tentera ke sempadan, melancarkan serangan yang kini mengorbankan ribuan tentera dan orang awam.

Pencerobohan Russia itu turut memusnahkan kehidupan berjuta orang dan menyaksikan bandar-bandar di Ukraine diletupkan menerusi serangan udara dan tembakan artileri selain mencetuskan krisis tenaga serta makanan global.

Beberapa pertempuran paling sengit dalam perang itu berlaku di Sievierodonetsk, di mana serangan di jalanan berlanjutan selama sebulan dengan Russia berjaya menawan lebih banyak kawasan.

Pertempuran itu adalah kunci bagi Russia untuk mengawal beberapa kawasan terakhir di wilayah Luhansk yang masih dikuasai Ukraine, yang bersama-sama dengan Donetsk membentuk wilayah Donbas, iaitu kawasan perindustrian Ukraine.

Sekiranya Sievierodonetsk tumbang, ini menjadikan hanya bandar kembarnya, Lysychansk, yang terletak di tebing barat Sungai Siverskyi Donets, kekal di tangan Ukraine.

Antara taktik Russia sejak tenteranya gagal menawan ibu kota Kyiv pada peringkat awal perang itu dilancarkan termasuk pengeboman ganas ke bandar dan pekan diikuti dengan serangan oleh tentera darat.

Penganalisis berkata, tentera Russia menjadi punca kehilangan nyawa dalam jumlah yang besar, masalah dalam kepimpinan, bekalan dan semangat dalam kalangan penduduknya. - REUTERS

Berita Harian X