Khamis, 23 Jun 2022 | 10:36am
Bangunan pangsapuri yang musnah dibom di Hostomel, Kyiv, antara bandar utama yang menjadi sasaran kempen pengeboman tentera Russia. - Foto EPA
Bangunan pangsapuri yang musnah dibom di Hostomel, Kyiv, antara bandar utama yang menjadi sasaran kempen pengeboman tentera Russia. - Foto EPA

Bandar utama Ukraine dibom bertubi-tubi oleh Russia

KYIV: Wilayah timur Lugansk dan bandar utama Severodonetsk, Ukraine semalam menjadi sasaran pengeboman bertubi-tubi tentera Russia, kata Kyiv sambil menegaskan pejuangnya akan bertahan 'selagi perlu'.

Tentera Moscow menyerang timur Ukraine selama berminggu-minggu dan kini beransur-ansur mara lebih jauh, walaupun mendapat tentangan hebat daripada tentera Ukraine yang kalah.

Dengan tentera Presiden Russia, Vladimir Putin, mengetatkan cengkaman mereka di bandar Severodonetsk, yang penting secara strategik di Donbas, bandar berkembar Lysychansk kini menghadapi serangan yang lebih berat.

Gabenor wilayah Lugansk, Sergiy Gaiday, berkata tentera Russia memusnahkan segala-galanya di Lysychansk, yang merangkumi kedua-dua bandar.

"Ia umpama padang jarak di luar sana selepas Severodonetsk, di seberang Sungai Donets dibom selama empat bulan.

"Pejuang kami akan kekal di kedudukan mereka dan terus bertahan selagi boleh," katanya melalui hantaran di Telegram, ketika puak pemisah pro-Russia mendakwa mereka hampir mengepung Lysychansk dan Severodonetsk.

Seorang pegawai dalam tentera pemisah Lugansk, Andrei Marochko, berkata sejak beberapa hari lalu, usaha yang sangat besar sudah dicapai.

Menguasai kedua-dua bandar itu akan memberikan kawalan Moscow ke atas seluruh Lugansk, dan membenarkan Russia untuk menekan lebih jauh ke Donbas.

Selepas diusir dari Kyiv dan bahagian lain Ukraine berikutan pencerobohan Februari lalu, Moscow sedang berusaha untuk merebut kawasan timur yang luas di negara itu, dengan pengeboman harian berterusan di bahagian lain Ukraine.

Di pusat bandar Zaporizhzhia, sekumpulan wanita Ukraine dilihat berlatih bertempur menggunakan senapang serangan jenis Kalashnikov, ketika tentera Russia semakin menghampiri bandar itu.

Kumpulan bantuan 'Doctors Without Borders' berkata, pihaknya sudah mengumpulkan data mengenai 'sikap melampau tidak membezakan atau menghiraukan keperluan melindungi orang awam' ketika perang di Ukraine.

Kebanyakan pesakit dipindahkan dengan kereta api dan turut menyalahkan tentera atau pihak yang menyokong Russia mengakibatkan pelbagai kecederaan yang mengerikan.

Di bandar selatan Mykolaiv, dua kemudahan penyimpanan bijirin terkena serangan peluru berpandu Russia, kata pengendalinya, Bunge dan Viterra.

Bagi pihak Russia, pegawainya berkata, dua dron melanggar kilang penapisan minyak di wilayah Rostov semalam, yang bersempadan dengan Ukraine, menyebabkan letupan dan kebakaran tetapi tiada kemalangan jiwa.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), dalam siasatan yang diterbitkan Rabu lalu, mendakwa seorang wartawan jurugambar Ukraine, Maks Levin, dibunuh dan mungkin diseksa oleh tentera Russia selepas ditangkap pada 13 Mac lalu. - AFP

Berita Harian X