Rabu, 22 Jun 2022 | 7:18pm
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen. - Foto EPA
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen. - Foto EPA

Denmark tawar dos ke-4 vaksin COVID-19 untuk usia 50-an

COPENHAGEN: Denmark akan mula menawarkan dos keempat vaksin COVID-19 kepada kumpulan individu berisiko minggu depan dan mereka yang berusia lebih 50-an selepas musim panas, di tengah-tengah kemunculan varian baharu.

"Pihak berkuasa percaya varian baharu itu lebih menular daripada yang sebelumnya, itulah sebabnya kami bertindak sekarang... untuk melindungi mereka yang paling terdedah dan warga tua", Perdana Menteri, Mette Frederiksen memberitahu pemberita.

Beliau berkata mereka yang paling berisiko akan dapat menerima dos keempat mulai minggu depan.

Subvarian Omicron BA.5 kini menyumbang 59 peratus daripada kes baharu di Denmark, yang mencatatkan lebih 3.1 juta jangkitan sejak permulaan wabak di negara dengan populasi 5.8 juta orang.

Denmark, yang menghentikan kempen vaksinasinya pada akhir April, berkata kempen itu akan diperhebatkan selepas musim panas.

"Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan vaksinasi semula 2.5 juta rakyat Denmark pada musim luruh", kata Fredriksen.

Dos keempat akan ditawarkan kepada semua yang berumur 50-an mulai 1 Oktober. Kira-kira 62 peratus orang Denmark menerima dos ketiga.

Negara Scandinavia itu menarik balik semua sekatan COVID-19 pada Februari dan tidak bercadang untuk memperkenalkannya semula.

"Strategi kami adalah masyarakat tanpa sekatan, itulah sebabnya kami perlu mencegah penyakit itu," menurut Ketua Lembaga Kesihatan Nasional Denmark, Soren Brostrom pada sidang media sama.

Beliau menggesa individu yang mempunyai simptom supaya menjalankan ujian saringan dan menjalani kuarantin jika disahkan positif. - AFP

Berita Harian X