Selasa, 21 Jun 2022 | 9:20pm
Beribu-ribu pekerja kereta api mogok di tengah-tengah pertikaian mengenai gaji dan keadaan kerja. - Foto AGENSI
Beribu-ribu pekerja kereta api mogok di tengah-tengah pertikaian mengenai gaji dan keadaan kerja. - Foto AGENSI

Mogok pekerja kereta api terbesar sejak 30 tahun

LONDON: Puluhan ribu pekerja hari ini enggan bekerja pada hari pertama mogok kereta api terbesar Britain dalam tempoh 30 tahun.

Keadaan itu menyebabkan penumpang berdepan huru-hara tatkala kesatuan sekerja dan kerajaan masing-masing berdegil mengenai isu kenaikan gaji.

Sebahagian daripada lebih 40,000 kakitangan kereta api akan mogok hari ini, Khamis dan Sabtu ini, berkumpul di barisan piket sejak subuh, menyebabkan gangguan besar di seluruh rangkaian perkhidmatan kereta api sehingga menyebabkan stesen utama lengang.

Laluan bawah tanah Metro London juga kebanyakannya tutup kerana mogok berasingan.

Perdana Menteri, Boris Johnson kini berada di bawah tekanan untuk melakukan lebih banyak usaha untuk membantu rakyat Britain yang menghadapi kesan ekonomi paling teruk dalam beberapa dekad.

Beliau berkata, mogok itu akan membahayakan perniagaan yang masih belum pulih daripada kesan COVID-19.

Kesatuan berkata, mogok kereta api boleh menandakan permulaan 'ketidak puasan hati musim panas' dengan guru, pekerja medik, pekerja pelupusan sampah dan juga peguam turut menuju tindakan sama disebabkan inflasi yang sudah melonjak 10 peratus.

"Pekerja British memerlukan kenaikan gaji. Mereka memerlukan jaminan pekerjaan dan keadaan yang baik," kata Mick Lynch, setiausaha agung Pekerja Kereta Api, Maritim dan Pengangkutan kepada Sky News.

Ketika waktu pagi ini, jalan raya kelihatan lebih sibuk daripada biasa dengan kereta, basikal dan pejalan kaki, malah kakitangan hospital berkata, beberapa rakan sekerja mereka terpaksa tidur di tempat kerja semalaman untuk tidak mengalami gangguan perjalanan.

Johnson menyatakan kepada kabinetnya bahawa mogok itu 'salah dan tidak perlu' malah berkata mesejnya kepada negara adalah mereka perlu bersedia untuk 'kekal dalam perjalanan' kerana penambahbaikan berhubung pengangkutan kereta api adalah demi kepentingan orang ramai.

Hasil tinjauan pendapat YouGov awal bulan ini mendapati, berlaku perbezaan pendapat, dengan kira-kira separuh daripada mereka menentang tindakan itu dan lebih satu pertiga menyokongnya.

Leo Rudolph, seorang peguam berusia 36 tahun yang berjalan ke tempat kerja, berkata dia akan bertambah berang sekiranya pertikaian itu berlarutan.

"Ini tidak akan menjadi kes terpencil, bukan?" katanya kepada Reuters.

Inflasi dikesan melonjak di seluruh Eropah berikutan kenaikan besar dalam kos tenaga, tetapi bukan hanya Britain menghadapi mogok sedemikian.

Di Belgium, tindakan menangani kos sara hidup menyebabkan gangguan di Lapangan Terbang Brussels kelmarin, manakala kesatuan yang paling berkuasa di Jerman pula mendesak kenaikan gaji yang besar.

Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron berdepan pergolakan berhubung reformasi pencen.

Ekonomi Britain mulai pulih daripada pandemik COVID-19 tetapi kekurangan buruh, gangguan rantaian bekalan, inflasi dan masalah perdagangan pasca Brexit menyebabkan amaran kemelesetan terjadi.

Kerajaan berkata ia menyokong berjuta-juta isi rumah termiskin tetapi memberi amaran bahawa kenaikan gaji melebihi inflasi akan merosakkan asas ekonomi dan memanjangkan masalah. - REUTERS

Berita Harian X