Selasa, 21 Jun 2022 | 8:45pm
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AGENSI
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AGENSI

Macron adakan perbincangan mengenai kebuntuan politik Perancis

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron hari ini mengadakan perbincangan dengan pembangkang untuk menamatkan kebuntuan yang dicetuskan oleh kegagalannya memperoleh majoriti dalam pilihan raya parlimen, selepas menolak tawaran perdana menteri untuk meletakkan jawatan.

Macron akan menjadi tuan rumah kepada pemimpin sayap kanan Marine Le Pen dan ketua parti politik lain untuk rundingan yang jarang berlaku di istana Presiden, Elysee ketika beliau mencari penyelesaian kepada situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang berisiko menjerumuskan penggal keduanya ke dalam krisis, dua bulan selepas ia bermula.

Situasi kebuntuan politik dan prestasi cemerlang oleh sayap kanan di bawah Le Pen juga telah menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan Macron di Eropah ketika beliau berusaha untuk mengekalkan peranan utama dalam menangani pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Istana Presiden berkata, Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne, dipersalahkan oleh beberapa penganalisis kerana mengetuai kempen hambar, telah menawarkan peletakan jawatannya kepada Macron, tetapi ketua negara menolaknya.

Macron percaya kerajaan perlu "tetap menjalankan tugas dan bertindak" dan presiden kini akan mencari "penyelesaian yang membina" kepada kebuntuan politik dalam perbincangan dengan parti pembangkang, kata seorang pegawai presiden, yang enggan namanya disiarkan.

Macron memulakan rundingan hari ini dengan berbincang dengan Christian Jacob, ketua sayap kanan tradisional Republikan (LR), sebuah parti yang merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi kini mungkin dirayu oleh presiden untuk memberinya majoriti.

Pemimpin Parti Sosialis, Olivier Faure dan ketua Parti Komunis, Fabien Roussel - ahli pakatan sayap kiri NUPES - juga akan bertemu Macron.

Dalam pertemuan yang jarang berlaku, Macron pada jam 5:30 petang waktu Paris akan menjadi tuan rumah kepada Le Pen, pesaingnya dalam pilihan raya presiden dan ketua Perhimpunan Kebangsaan (RN) paling kanan.

Pilihan yang tersedia untuk Macron terdiri daripada berusaha untuk membentuk pakatan gabungan baharu, meluluskan undang-undang berdasarkan perjanjian ad hoc, atau bahkan mengadakan pilihan raya baharu. - AFP

Berita Harian X