Selasa, 21 Jun 2022 | 7:51pm
Sidang kemuncak EU selama dua hari Khamis ini dijangka meluluskan langkah untuk menamakan secara rasmi Ukraine sebagai 'calon' sebelum memulakan rundingan penyertaan. - Foto AGENSI
Sidang kemuncak EU selama dua hari Khamis ini dijangka meluluskan langkah untuk menamakan secara rasmi Ukraine sebagai 'calon' sebelum memulakan rundingan penyertaan. - Foto AGENSI

Tiada bantahan terima Ukraine sebagai calon EU

BRUSSELS: Pegawai Kesatuan Eropah (EU) hari ini berkata, tiada bantahan daripada blok 27 negara untuk memberikan Ukraine 'status calon' menjelang sidang kemuncak yang dijangka memberi kelulusan dalam langkah itu.

Badan eksekutif blok itu minggu lalu mencadangkan untuk mengambil langkah pertama sebagai simbolik untuk meletakkan Ukraine ke arah keahlian EU sebagai tanda sokongan yang kuat ketika Kyiv sedang diserang Russia.

Sidang kemuncak dua hari Khamis ini dijangka akan meluluskan langkah untuk menamakan secara rasmi Ukraine dan Moldova sebagai 'calon' sebelum memulakan rundingan penyertaan itu.

"Tiada satu negara pun yang memberi masalah dengan cadangan itu. Kami akan menunjukkan sebulat suara yang hebat, kata Menteri Luar Luxembourg, Jean Asselborn pada pertemuan dengan rakan sejawatan EU di ibu negaranya.

Sebelum meneruskan rundingan kemasukan rasmi, EU antara lainnya dijangka mengenakan syarat ke atas Ukraine dan Moldova berhubung pembaharuan kehakiman dan menangani rasuah.

Ia kemudiannya akan mengambil masa bertahun-tahun - kemungkinan berdekad - penilaian teliti sebelum Ukraine hampir menjadi ahli sebenar.

Georgia juga memohon keahlian tetapi perlu melakukan pembaharuan selanjutnya sebelum boleh menjadi calon.

Momentum membuka pintu terhadap Ukraine selepas pemimpin tinggi Perancis, Jerman dan Itali memberitahu AFP bahawa tiada negara membangkitkan bantahan pada mesyuarat duta-duta blok, semalam.

Negara yang ragu-ragu seperti Belanda dan Denmark pula berkata, akan menyokong langkah itu dengan syarat jelas iaitu pembaharuan diperlukan.

"Kami mahu membantu rakyat Ukraine untuk mencapai impian Eropah dan pemberian status calon adalah satu langkah dan galakan untuk melakukannya. Memang benar juga bahawa terdapat banyak kewajipan yang perlu ditunaikan," kata Menteri Luar Denmark, Jeppe Kofod. - AFP

Berita Harian X