Selasa, 21 Jun 2022 | 11:45am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memantau keadaan di bandar Mykolaiv. - Foto REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memantau keadaan di bandar Mykolaiv. - Foto REUTERS

Zelensky jangka Russia perhebat serangan minggu ini

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menjangkakan Russia akan meningkatkan serangannya minggu ini apabila pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mempertimbangkan sama ada mahu menyokong usaha negaranya menyertai blok itu.

"Jelas sekali minggu ini kita harus menjangkakan daripada Russia peningkatan aktiviti permusuhannya.

"Kami sedang bersiap. Kami sudah bersedia," katanya dalam ucapan video mingguan yang disiarkan setiap malam Ahad.

Zelensky berikrar bahawa tenteranya tidak akan memberikan kawasan selatan kepada sesiapa, ketika Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memberi amaran bahawa perang di Ukraine boleh berpanjangan selama bertahun-tahun.

Ketua Pertubuhan NATO berkata tentera Ukraine berdepan serangan Russia yang lebih sengit selepas eksekutif EU mengesyorkan Kyiv harus diberikan status calon untuk menyertai blok itu.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, dipetik oleh akhbar Jerman, Bild am Sonntag, sebagai berkata, bekalan senjata canggih kepada tentera Ukraine akan meningkatkan peluang membebaskan wilayah timur Donbas daripada kawalan Russia.

"Kita mesti bersedia dengan hakikat bahawa ia boleh mengambil masa bertahun-tahun. Kita tidak boleh berputus asa dalam menyokong Ukraine.

"Walaupun kosnya tinggi, bukan saja untuk sokongan ketenteraan, juga kerana kenaikan harga tenaga dan makanan," katanya.

Tentera Russia mengarahkan pasukan tentera mereka ke timur dan selatan Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas gagal dalam usaha mereka untuk menawan ibu kota Kyiv.

Dalam perkembangan lain, Gabenor Bank Pusat Russia, Elvira Nabiullina, memberi amaran ekonomi negara itu terkesan secara serius akibat sekatan dikenakan Barat.

Katanya, sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terancam akibat tindak balas antarabangsa itu. - AGENSI

Berita Harian X