Selasa, 21 Jun 2022 | 10:12am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Ukraine serang pelantar minyak milik Russia

MOSCOW: Ketua Crimea, yang dikuasai Moscow, hari ini berkata tujuh orang cedera dan tujuh lagi hilang selepas Ukraine menyerang pelantar minyak di semenanjung di bawah Russia di laut Hitam.

Sergey Aksyonov, menerusi hantaran di Telegram, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kerja mencari mangsa sedang dijalankan di pelantar minyak Chernomorneftegaz yang dimiliki syarikat berpangkalan di Crimea.

Ini adalah kali pertama infrastruktur tenaga di luar pesisir pantai Crimea diserang sejak Russia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari lalu.

Aksyonov, yang dilantik oleh Russia sebagai gabenor semenanjung itu selepas menguasainya pada 2014, sebelum ini berkata lima orang cedera tetapi kemudian mengubah angka berkenaan.

Katanya, tiga pelantar disasarkan dalam serangan itu, memaksa pemindahan 94 orang dari tapak berkenaan, kecuali 15 tentera kekal di sana bagi mengawal manakala kerja mencari dan menyelamat dari udara dan perairan diteruskan.

Chernomorneftegaz, yang disekat Amerika Syarikat (AS) sejak 2014, mengendalikan beberapa operasi penggerudian minyak dan gas di Laut Hitam dan Laut Azov.

Aksyonov berkata salah satu pelantar terkena serangan dan seorang Senator Russia untuk Crimea, Olga Kovitidi, memberitahu agensi berita RIA Novosti bahawa dua lagi pelantar tidak terjejas. - AFP

Berita Harian X