Selasa, 21 Jun 2022 | 8:42am
Penduduk Georgia mengadakan perhimpunan sebagai sokongan terhadap usaha negara itu untuk menganggotai Kesatuan Eropah (EU). - Foto AFP
Penduduk Georgia mengadakan perhimpunan sebagai sokongan terhadap usaha negara itu untuk menganggotai Kesatuan Eropah (EU). - Foto AFP

120,000 rakyat Georgia berhimpun sokong usaha anggotai EU

TBILISI: Lebih 120,000 rakyat Georgia berhimpun di jalanan hari ini bagi menyokong usaha negara itu menganggotai Kesatuan Eropah (EU), selepas Suruhanjaya Eropah mengesyorkan menangguhkan pencalonan Tbilisi.

Peserta perhimpunan membanjiri laluan utama dalam demonstrasi 'March for Europe' di ibu negara Georgia itu, dengan mengibarkan bendera Georgia, Ukraine dan EU.

Jumlah berkenaan dianggarkan AFP berdasarkan rakaman video yang diambil menggunakan dron, yang disifatkan demonstrasi terbesar sejak beberapa dekad lalu.

Ramai yang memegang sepanduk bertulis 'Kami adalah Eropah' ketika lagu EU 'Ode to Joy' dipersembahkan pada demonstrasi itu.

Perhimpunan itu dimulakan kumpulan pro demokrasi terkemuka negara Laut Hitam itu dan disokong semua parti pembangkang bagi 'menunjukkan komitmen rakyat Georgia terhadap pilihan Eropah dan nilai Baratnya'.

Kemarahan mereka ditujukan terhadap (pengasas parti pemerintah) oligarki, Bidzina Ivanishvili, yang dipercayai akan membuat keputusan di Georgia walaupun tidak mempunyai peranan politik secara rasmi.

Usaha Georgia untuk menjadi ahli EU dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang termaktub dalam Perlembagaan negara itu, sejak sekian lama menimbulkan kemarahan Kremlin dan ketegangan memuncak sejak pencerobohan Russia ke atas Georgia pada 2008.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Eropah mengesyorkan Majlis Eropah memberikan status pencalonan kepada Kyiv dan Chisinau, namun menyatakan ia akan 'kembali (menjelang akhir 2022) dan menilai bagaimana Georgia memenuhi sejumlah syarat sebelum memberikan status sebagai calon'.

Suruhanjaya itu juga mengesyorkan memberikan Georgia 'perspektif Eropah', sesuatu yang disifatkan ketuanya, Ursula von der Leyen, sebagai 'langkah ke hadapan yang besar' dalam laluan untuk Georgia menjadi ahli.

"Pintunya terbuka luas. Lebih cepat anda melakukannya, lebih cepat akan ada kemajuan," katanya.

Hari ini, ketua EU menyatakan, Georgia perlu melaksanakan lebih banyak pembaharuan sebelum boleh menyertai blok itu.

Ukraine, Georgia dan Moldova menandatangani perjanjian persatuan dengan EU, bagi merapatkan hubungan mereka dari segi ekonomi dan politik. - AFP

Berita Harian X