Selasa, 21 Jun 2022 | 8:09am
Salah seorang askar upahan warga Amerika syarikat, Andy Hyunh, yang diberkas tentera Russia ketika berperang bagi pihak Ukraine kini ditahan di lokasi rahsia. - Foto REUTERS
Salah seorang askar upahan warga Amerika syarikat, Andy Hyunh, yang diberkas tentera Russia ketika berperang bagi pihak Ukraine kini ditahan di lokasi rahsia. - Foto REUTERS

Kremlin dakwa warga AS ditangkap di Ukraine lakukan jenayah

WASHINGTON: Dua warga Amerika Syarikat (AS) yang ditangkap di Ukraine ketika berperang dengan tentera Kyiv didakwa 'membahayakan' tentera Russia dan harus 'bertanggungjawab atas jenayah itu'.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, semalam dalam satu temu bual bersama NBC News.

NBC menyatakan, ini adalah julung kali Kremlin mengulas mengenai kes veteran AS berkenaan, Alexander Drueke dan Andy Huynh.

"Mereka adalah tentera upahan dan terbabit dalam kegiatan haram di wilayah Ukraine. Mereka menembak dan membedil anggota tentera kita, mereka membahayakan nyawa tentera kita," kata Peskov kepada rangkaian itu, dalam bahasa Inggeris.

"Mereka harus bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan. Jenayah ini perlu disiasat," katanya pada bahagian pertama temu bual itu yang disiarkan kepada umum.

Apabila diasak dengan soalan mengenai jenayah yang dilakukan warga AS terbabit, Peskov mengakui kesalahan khusus mereka belum diketahui, namun mendakwa ia tidak dilindungi di bawah Konvensyen Geneva mengenai tawanan perang.

"Mereka bukan (dalam) tentera Ukraine, jadi mereka tidak tertakluk kepada Konvensyen Geneva," kata jurucakap Kremlin itu.

Minggu lalu, saluran TV Russia menyiarkan video di media sosial mengenai Drueke dan Huynh.

Bagaimana kedua-dua lelaki itu ditahan dan siapa yang secara khusus menahan mereka tidak begitu jelas manakala Peskov hanya menyatakan mereka ditahan 'pihak berkuasa'.

Ditanya sama ada kedua-dua warga AS itu boleh berdepan hukuman mati, Peskov berkata: "Ia bergantung kepada siasatan".

Jumaat lalu, Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau tidak tahu mengenai Drueke dan Huynh, yang dipercayai menyertai warga asing lain secara sukarela bersama tentera Ukraine. - AFP

Berita Harian X