Isnin, 20 Jun 2022 | 6:13pm
Kepulan asap kelihatan di Sievierodonetsk selepas dibedil serangan tentera, kelmarin. - FOTO REUTERS
Kepulan asap kelihatan di Sievierodonetsk selepas dibedil serangan tentera, kelmarin. - FOTO REUTERS

Russia dakwa tawan perkampungan dekat Sievierodonetsk

KYIV: Russia mendakwa berjaya menawan sebuah perkampungan berhampiran bandar perindustrian, Sievierodonetsk yang juga antara sasaran utama Moscow dalam usaha menguasai kawasan timur Ukraine.

Kementerian Pertahanan Russia, memaklumkan pasukan tenteranya berjaya merampas Metyolkine - penempatan yang mempunyai kurang 800 penduduk sebelum perang meletus.

Agensi berita Russia, TASS melaporkan ramai tentera Ukraine didakwa menyerah diri di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tentera Ukraine sebaliknya mendakwa Russia hanya 'separa menang' di kawasan terbabit yang terletak kira-kira enam kilometer di tenggara Sievierodonetsk.

Selepas gagal menawan Kyiv pada awal peperangan, tentera Russia memfokuskan untuk menguasai sepenuhnya Donbas. Sebahagian wilayah itu sudah dikuasai kumpulan pejuang yang disokong Russia sebelum Moscow melancarkan pencerobohan pada 24 Februari lalu.

Semalam, Russia mendakwa usahanya ke arah menawan Sievierodonetsk sedang berjalan dengan baik.

Namun Gabenor Luhansk, Serhiy Gaidai, menyifatkan dakwaan Russia menguasai bandar itu sebagai pembohongan.

"Mereka menguasai bahagian utama dan bukan keseluruhan bandar itu," katanya kepada stesen penyiaran Ukraine.

Di Lysychansk iaitu bandar kembar Sievierodonetsk, Gaidai mendakwa, bangunan kediaman dan rumah persendirian turut musnah akibat serangan tentera Russia. - AFP

Berita Harian X