Isnin, 20 Jun 2022 | 6:03pm
Zelensky ketika melawat bandar Mykolaiv, kelmarin. - FOTO REUTERS
Zelensky ketika melawat bandar Mykolaiv, kelmarin. - FOTO REUTERS

Russia dijangka perhebat serangan ke atas Ukraine minggu ini

KYIV: Russia dijangka memperhebatkan serangan ke atas Ukraine, minggu ini, ketika Kyiv menunggu keputusan bersejarah daripada Kesatuan Eropah (EU) berhubung permohonan negara ini untuk menganggotai blok itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya meramalkan Moscow bakal meningkatkan bedilan, berikutan EU dijangka memberi keputusan terhadap permohonan keahlian itu dalam tempoh terbabit, selepas hampir tiga bulan Russia melancarkan pencerobohan berdarah berkenaan.

"Hanya keputusan positif menjadi kepentingan seluruh Eropah. Sudah tentu, kami menjangka Russia memperhebatkan serangannya, minggu ini. Kami sedang meneruskan persediaan untuk menghadapinya. Kami bersiap siaga," katanya dalam ucapan, semalam.

Tentera Moscow menumpukan serangan ke atas timur Ukraine selama berminggu-minggu dalam usaha untuk menawan wilayah Donbas.

Jumaat lalu, Brussels menyokong usaha Kyiv untuk menjadi calon ahli EU selepas pemimpin negara anggota terbesar blok itu, iaitu Perancis, Jerman dan Itali, melawat ibu negara Ukraine.

Ukraine dijangka boleh menyertai senarai negara yang bersaing untuk keahlian, seawal minggu ini, apabila pemimpin negara anggota mengadakan perjumpaan pada sidang kemuncak di Brussels.

Kelmarin, Zelensky mengadakan lawatan ke bandar Mykolaiv dengan mengunjungi pasukan tentera berdekatan dan juga di wilayah Odessa untuk kali pertama sejak peperangan meletus.

"Kita tidak akan menyerahkan kawasan selatan kepada sesiapa. Kita akan mendapatkan semula segala yang menjadi milik kita," katanya melalui rakaman video di Telegram ketika dalam perjalanan pulang ke Kyiv.

Semalam, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa pasukan tenteranya melancarkan serangan peluru berpandu dalam tempoh 24 jam lalu, dengan satu daripadanya mengenai tempat mesyuarat peringkat atasan tentera Ukraine berhampiran bandar Dnipro sehingga mengorbankan lebih 50 jeneral dan pegawai.

Kementerian itu mendakwa, ia juga menyasarkan sebuah bangunan yang menyimpan senjata dibekalkan Barat di Mykolaiv, sekali gus memusnahkan artileri dan kenderaan berperisai Ukraine.

Bagaimanapun, dakwaan Moscow itu tidak dapat disahkan secara bebas, setakat ini.

Mykolaiv menjadi antara sasaran utama Russia berikutan kedudukannya dalam laluan ke pelabuhan strategik, Odessa. - AFP

Berita Harian X