Ahad, 19 Jun 2022 | 9:45am
Pandangan menunjukkan depoh trem musnah akibat serangan peluru berpandu Russia, ketika serangan Russia ke atas Ukraine berterusan, di Kharkiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Pandangan menunjukkan depoh trem musnah akibat serangan peluru berpandu Russia, ketika serangan Russia ke atas Ukraine berterusan, di Kharkiv, Ukraine. - Foto REUTERS

NATO beri amaran perang Ukraine boleh berlarutan

KYIV: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hari ini berkata, perang di Ukraine boleh berlarutan bertahun-tahun dan tentera Ukraine berdepan serangan Russia yang lebih sengit selepas eksekutif Kesatuan Eropah (EU) mengesyorkan Kyiv harus diberikan status calon untuk menyertai blok itu.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, dipetik oleh akhbar Bild am Sonntag Jerman sebagai berkata, bekalan senjata canggih kepada tentera Ukraine akan meningkatkan peluang membebaskan wilayah timur Donbas daripada kawalan Russia.

"Kita mesti bersedia dengan hakikat bahawa ia boleh mengambil masa bertahun-tahun. Kita tidak boleh berputus asa dalam menyokong Ukraine," katanya.

"Walaupun kosnya tinggi, bukan sahaja untuk sokongan ketenteraan, juga kerana kenaikan harga tenaga dan makanan."

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang melawat Kyiv Jumaat lalu, membuat komen yang sama mengenai keperluan untuk bersiap sedia untuk perang yang panjang dalam op-ed untuk akhbar Sunday Times London.

Bercakap kepada pemberita semalam, beliau menekankan keperluan untuk mengelakkan "keletihan Ukraine" dan dengan tentera Russia "bergerak ke hadapan inci demi inci", untuk sekutu menunjukkan kepada Ukraine mereka berada di sana bagi menyokong mereka untuk masa yang lama.

Dalam op-ed, beliau berkata ini bermakna memastikan "Ukraine menerima senjata, peralatan, peluru dan latihan lebih cepat daripada penceroboh."

"Masa adalah faktor penting," kata Johnson.

"Segala-galanya akan bergantung kepada sama ada Ukraine boleh mengukuhkan keupayaannya untuk mempertahankan tanahnya lebih cepat daripada Russia boleh memperbaharui keupayaannya untuk menyerang."

Ukraine menerima rangsangan yang ketara Jumaat lalu apabila Suruhanjaya Eropah mengesyorkan supaya ia diberikan status calon Kesatuan Eropah (EU) - sesuatu yang dijangka akan disokong oleh negara EU pada sidang kemuncak minggu ini.

Itu akan meletakkan Ukraine di landasan untuk merealisasikan aspirasi yang dilihat tidak dapat dicapai sebelum pencerobohan 24 Februari oleh Russia, walaupun keahlian sebenar boleh mengambil masa bertahun-tahun. - REUTERS

Berita Harian X