Sabtu, 18 Jun 2022 | 4:35pm
(Dari kiri ke kanan) Presiden Romania, Klaus Iohannis, Perdana Menteri Itali, Mario Draghi; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, mengadakan sidang media di Mariinsky Palace, Kyiv. - Foto AFP
(Dari kiri ke kanan) Presiden Romania, Klaus Iohannis, Perdana Menteri Itali, Mario Draghi; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Olaf Scholz, mengadakan sidang media di Mariinsky Palace, Kyiv. - Foto AFP

Zelensky bincang isu Ukraine dengan pemimpin 4 negara

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berbincang mengenai perang dengan Russia ketika bertemu pemimpin Jerman, Itali, Perancis dan Romania di ibu negara Kyiv.

Memetik perkongsian Encik Zelensky di akaun Telegram, beliau menyatakan kelmarin adalah hari yang sibuk dengan mengadakan mesyuarat penting.

"Gembira dapat bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz; Perdana Menteri Itali, Mario Draghi dan Presiden Romania, Klaus Iohannis di Kyiv.

"Rakyat Ukraine hari ini berada di barisan hadapan memerangi serangan Russia tetapi mereka tidak bersendirian dan lawatan ini membuktikannya.

"Kami menghargai perpaduan anda dengan negara dan rakyat kami," katanya sambil menambah di laman Facebook bahawa 'kekuatan utama dan senjata paling berkesan' mereka membawa kepada penyatuan itu.

Dalam pertemuan itu, kata Zelensky, pemimpin berbincang untuk lanjutan dan pengukuhan pertahanan, sokongan ekonomi dan pembinaan semula Ukraine selepas perang selain menangani krisis makanan serta tindakan sekatan selanjutnya ke atas Russia.

Beliau juga menggesa Kesatuan Eropah (EU) memberi perhatian khusus kepada masa depan Eropah dan menyegerakan integrasi Ukraine ke blok itu.

Zelensky juga berterima kasih kepada Macron, Scholz, Draghi dan Iohannis atas pertemuan itu, sambil menyatakan bahawa mereka sedang bersedia untuk 'keputusan penting baharu untuk mengukuhkan Ukraine dan mengukuhkan keselamatan di Eropah'.

Kremlin sebelum ini memberi amaran kepada Barat yang membekalkan senjata baharu kepada Ukraine, ketika Macron, Scholz dan Draghi melawat Kyiv.

"Saya berharap pemimpin tiga negara ini serta Presiden Romania tidak hanya memberi tumpuan dalam menyokong Ukraine dengan membekalkan senjata," kata jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak berguna dan hanya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada negara berkenaan.

Ketua Pertahanan Britain, Tony Radakin, berkata keadaan itu secara tidak langsung memperkasakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Ini adalah kesilapan besar Russia. Russia tidak akan berjaya menguasai Ukraine, sebaliknya Russia sudah tewas secara strategik. NATO semakin kuat, malah Finland dan Sweden berhasrat menyertainya," katanya. - AGENSI

Berita Harian X