Sabtu, 18 Jun 2022 | 12:09pm
Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen (tengah) pada sidang media bersama Pesuruhjaya EU, Oliver Varhelyi (kanan) dan jurucakap Eric Mamer (kiri) mengenai permohonan keahlian EU oleh Ukraine, Moldova dan Georgia di Ibu Pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels, semalam. - Foto AFP
Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen (tengah) pada sidang media bersama Pesuruhjaya EU, Oliver Varhelyi (kanan) dan jurucakap Eric Mamer (kiri) mengenai permohonan keahlian EU oleh Ukraine, Moldova dan Georgia di Ibu Pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels, semalam. - Foto AFP

Brussels sokong Ukraine calon anggota EU

BRUSSELS: Ukraine menerima simbol solidariti yang kuat daripada Eropah selepas Brussels menyokong Kyiv sebagai calon keahlian Kesatuan Eropah (EU), keputusan yang tidak ditentang Presiden Russia, Vladimir Putin.

Dengan sokongan Suruhanjaya Eropah itu, Ukraine dilihat boleh memasuki senarai negara yang berhasrat mendapatkan keahlian seawal minggu depan, ketika negara anggota bertemu pada sidang kemuncak Brussels.

Semua 27 pemimpin perlu bersetuju dengan pencalonan itu, dengan pemimpin anggota tertinggi blok terbabit iaitu Perancis, Jerman dan Itali memberi sokongan penuh kepada idea berkenaan.

Suruhanjaya Eropah sebelum ini memberi sokongan rasmi kepada bidaan itu dan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen membuat pendirian jelas dengan memakai jaket terpampang warna kebangsaan Ukraine.

"Kita semua tahu rakyat Ukraine sedia berkorban demi perspektif Eropah. Kami mahu mereka bersama demi impian Eropah," katanya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan langkah pertama keahlian EU itu sebagai laluan menuju kejayaan.

Beliau menjangkakan pemimpin EU akan memberi keputusan positif berhubung perkara itu ketika sidang kemuncak berlangsung pada 23 dan 24 Jun ini.

Dalam pada itu, Putin berkata, beliau tidak menentang penyertaan Ukraine dalam EU dan menegaskan ia adalah hak mereka untuk menyertai kesatuan ekonomi itu atau sebaliknya berbanding risiko keselamatan jika Kyiv menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bagaimanapun, beliau mendakwa, keahlian dalam EU akan menjadikan Ukraine sebagai semi-koloni kepada Barat.

Terdahulu, Russia mendakwa Barat memanipulasi Ukraine dengan janji integrasi.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, kembali melawat Kyiv sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.

Downing Street berkata, Johnson menawarkan latihan operasi kepada sehingga 10,000 anggota tentera Ukraine bagi setiap 120 hari.

Setiap tentera Ukraine akan menjalani latihan selama tiga minggu, mempelajari taktik peperangan, kemahiran perubatan asas, keselamatan siber dan taktik letupan balas. - AFP

Berita Harian X