Jumaat, 17 Jun 2022 | 7:46am
Anggota tentera Ukraine bertugas di bandar Marinka, wilayah Donetsk, Ukraine di tengah-tengah serangan Russia ke atas negara itu. - Foto REUTERS
Anggota tentera Ukraine bertugas di bandar Marinka, wilayah Donetsk, Ukraine di tengah-tengah serangan Russia ke atas negara itu. - Foto REUTERS

Russia 'rugi besar' dalam peperangan dengan Ukraine

LONDON: Russia didakwa 'tewas secara strategik' selain mengalami kerugian yang besar dalam peperangan dengan Ukraine.

Ketua Pertahanan United Kingdom (UK), Tony Radakin, berkata keadaan itu secara tidak langsung memperkasakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Ini adalah kesilapan besar Russia. Russia tidak akan berjaya menguasai Ukraine.

"Russia sudah tewas secara strategik. NATO semakin kuat, Finland dan Sweden berhasrat menyertainya," katanya dalam wawancara bersama agensi berita Press Association.

Radakin berkata, Presiden Russia, Vladimir Putin mungkin meperoleh kejayaan taktikal dalam tempoh beberapa minggu akan datang, namun terpaksa mengorbankan satu perempat daripada kekuatan tentera negaranya bagi memperoleh keuntungan kecil selain mengalami kekurangan anggota tentera dan peluru berpandu berteknologi tinggi.

"Had jentera Russia semakin merosot dan hanya mampu bergerak sejauh dua, tiga atau lima kilometer setiap hari. Russia juga berdepan masalah kerana mereka semakin kekurangan anggota tentera dan peluru berpandu berteknologi tinggi.

"Presiden Putin sudah mengerahkan kira-kira 25 peratus kekuatan tenteranya hanya bagi mendapatkan kawasan yang kecil dengan kira-kira 50,000 orang, sama ada terbunuh atau mengalami kecederaan. "Russia akan gagal," katanya.

Radakin turut memberikan penghormatan kepada rakyat Ukraine yang disifatkannya berani dan berikrar akan terus menyokong Kyiv menerusi bantuan pensenjataan.

"Kami membantu dengan menyediakan senjata antikereta kebal, terdapat elemen lain yang kami sediakan dan ia akan berterusan," katanya.

Kremlin sebelum ini memberi amaran kepada Barat yang membekalkan senjata baharu kepada Ukraine ketika Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Perdana Menteri Itali, Mario Draghi melawat Kyiv.

"Saya berharap bahawa pemimpin tiga negara ini serta Presiden Romania tidak hanya memberi tumpuan dalam menyokong Ukraine dengan membekalkan senjata," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai tidak berguna dan hanya akan menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada negara berkenaan. - AFP

Berita Harian X