Rabu, 15 Jun 2022 | 8:55pm
Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan ‘zoonosis’ disebabkan virus cacar monyet dari kumpulan ‘poxviridae’.
Penyakit cacar monyet adalah sejenis jangkitan ‘zoonosis’ disebabkan virus cacar monyet dari kumpulan ‘poxviridae’.

WHO teliti laporan virus cacar monyet dikesan dalam air mani

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti laporan mengatakan virus cacar monyet dikesan dalam air mani pesakit, meneroka kemungkinan penyakit itu boleh berjangkit menerusi aktiviti seksual.

Ketika ini, WHO percaya virus berkenaan berjangkit menerusi kontak rapat secara peribadi.

Namun, Pengurus Kes cacar monyet WHO/Eropah, Catherine Smallwood, berkata sejak beberapa hari lalu, saintis dilaporkan mengesan viral DNA dalam air mani beberapa pesakit cacar monyet di Itali dan Jerman.

"Kita perlu memberi tumpuan terhadap kaedah jangkitan yang paling kerap dan jelas kita dapat melihat kaitannya dengan sentuhan antara kulit dengan kulit," katanya.

Lebih 1,300 kes penyakit berjangkit itu dikesan di kira-kira 30 negara, dengan sebahagian besarnya di Eropah sejak awal bulan lalu.

Kebanyakan kes yang dilaporkan itu membabitkan pesakit lelaki yang menjalin hubungan seks dengan lelaki.

Baru-baru ini di Rom, kehadiran virus cacar monyet dikesan dalam air mani beberapa pesakit di Itali, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penyakit itu boleh dijangkiti secara seksual.

Virus cacar monyet difahami boleh dijangkiti melalui kontak rapat dengan mereka yang telah dijangkiti melalui ciri uniknya iaitu kesan melepuh pada kulit dan titisan cecair dari mulut atau hidung.

Kebanyakan kes yang dikenal pasti semasa penularan kini adalah pasangan seksual yang mempunyai kontak rapat.

Namun, penyakit jangkitan kelamin seperti HIV/Aids, chlamydia dan sifilis difahami berpunca daripada patogen yang diberi daripada seseorang kepada yang lain menerusi air mani, cecair faraj atau cecair badan lain. - REUTERS

Berita Harian X