Selasa, 14 Jun 2022 | 8:17pm
Logo di ibu pejabat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Geneva, Switzerland sempena mesyuarat menteri perdagangan WTO. - Foto REUTERS
Logo di ibu pejabat Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) di Geneva, Switzerland sempena mesyuarat menteri perdagangan WTO. - Foto REUTERS

PBB gesa WTO jangan sekat eksport makanan

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu kepada menteri perdagangan dunia yang menghadiri sidang Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) supaya jangan mengenakan sekatan terhadap eksport makanan atas dasar kemanusiaan.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet serta Setiausaha Agung Perdagangan dan Pembangunan PBB, Rebeca Grynspan, berkata perang di Ukraine meningkat risiko kebuluran dan mengancam keselamatan makanan global.

Kedua-dua mereka mengingatkan semua pihak mengambil kira kebajikan negara kurang membangun, negara pengimport makanan dan negara yang bergantung kepada Program makanan Sedunia (WFP) PBB.

Bachelet dan Grynspan turut menekankan bahawa pada 2020, negara Afrika mengimport sekitar 80 peratus makanan dan 92 peratus bijirin.

Mereka juga menggesa negara anggota WTO supaya 'jangan kenakan sekatan eksport' terhadap makanan keperluan asas yang dibeli negara kurang maju dan pengimport makanan selain pembelian oleh WFP bagi tujuan kemanusiaan.

Satu keputusan mengenai keselamatan makanan dan sekatan eksport dijangka menjadi antara keputusan utama mesyuarat menteri perdagangan WTO yang bermula kelmarin dan tamat esok. - AFP

Berita Harian X