Selasa, 14 Jun 2022 | 9:15am
Ukraine berkata tenteranya telah dihalau dari pusat bandar timur Severodonetsk. - Foto AGENSI
Ukraine berkata tenteranya telah dihalau dari pusat bandar timur Severodonetsk. - Foto AGENSI

Tentera Ukraine diusir dari pusat Severodonetsk

KRAMATORSK: Ukraine memaklumkan tenteranya diusir dari pusat bandar perindustrian utama Severodonetsk, yang disifatkan Presiden Volodymyr Zelensky sebagai perjuangan yang mempertahankan setiap meter kawasan.

Bandar Severodonetsk dan Lysychansk, yang dipisahkan oleh sungai, menjadi sasaran serangan untuk beberapa minggu, kawasan terakhir yang masih di bawah kawalan Ukraine di wilayah timur Lugansk.

Gabenor wilayah, Sergiy Gaiday, berkata tentera Russia "mengumpul lebih banyak peralatan" untuk "mengepung" Severodonetsk.

"Tentera Moscow "menyerang unit kami dari pusat dan terus memusnahkan bandar kami", katanya.

Wakil pemisah pro-Russia, Eduard Basurin, berkata Severodonetsk menjadi kawasan "de facto" selepas tentera Russia meletupkan jambatan "terakhir" yang menghubungkannya ke Lysychansk Ahad, lalu.

"Tentera Ukraine di kawasan itu mempunyai dua pilihan, "menyerah atau mati"," katanya.

Dengan menawan Severodonetsk, menjadi pembuka jalan untuk Moscow ke Slovyansk dan sebuah lagi bandar utama, Kramatorsk, dalam usaha mereka menakluki seluruh Donbas, sebuah wilayah yang kebanyakannya penduduknya berbahasa Russia yang sebahagiannya dikuasai pemisah pro-Kremlin sejak 2014.

Tentera Ukraine berjuang untuk "setiap bandar dan kampung yang dijajah", kata Zelensky dalam mesej sempena ulang tahun kelapan pembebasan Mariupol dalam konflik terdahulu.

Mei lalu, tentera Russia menawan bandar pelabuhan di selatan Ukraine selepas mengepung kawasan itu berminggu-minggu.

"Kami sekali lagi mempertahankan dan terus berjuang di seluruh Ukraine," kata Zelensky.

Semalam, Amnesty International menuduh Russia melakukan jenayah perang di Ukraine, mengatakan bahawa serangan ke atas bandar timur laut Kharkiv - kebanyakannya menggunakan bom berangkai yang diharamkan membunuh ratusan orang awam.

"Pengeboman berulang kali ke atas kawasan kediaman di Kharkiv adalah serangan sewenang-wenang yang membunuh dan mencederakan ratusan orang awam, dan ini adalah jenayah perang," kata kumpulan hak asasi manusia itu dalam laporan mengenai bandar kedua terbesar di Ukraine itu.

Di Bucha, sebuah bandar berhampiran Kyiv yang sinonim dengan dakwaan jenayah perang, polis tempatan menemui tujuh lagi mayat dalam sebuah kubur.

"Beberapa mangsa diikat tangan dan lutut mereka," kata ketua polis wilayah Kyiv, Andriy Nebytov di Facebook.

Puluhan mayat dalam pakaian awam ditemui di bandar itu April lalu selepas tentera Russia berundur dari kawasan itu selepas menduduki kawasan itu lebih sebulan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, di utara Ukraine, serangan roket Russia disasarkan di bandar Pryluky.

Pryluky, terletak kira-kira 150 kilometer timur ibu negara, menempatkan sebuah lapangan terbang tentera.

Di Lysychansk, pengeboman Russia membunuh tiga orang awam dalam tempoh 24 jam yang lalu, termasuk seorang budak lelaki berusia enam tahun, kata gabenor Lugansk, Gaiday.

Pihak berkuasa pemisah berkata, ketika tentera Russia di bandar Donetsk, tiga orang terbunuh dan empat cedera dalam tembakan Ukraine di sebuah pasar di daerah Budonivskyi di bandar itu.

Pencerobohan Russia ke atas negara jirannya Ukraine itu mendorong Finland dan Sweden berusaha untuk menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dari segi keselamatan, Sweden "berada di tempat yang lebih baik sekarang berbanding sebelum ia memohon" menyertai NATO, menurut ketua NATO, Jens Stoltenberg.

Turki menentang kemasukan dua negara itu untuk menyertai NATO.

Dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson, Stoltenberg berkata NATO sedang bekerja "keras dan aktif" untuk menyelesaikan kebimbangan Ankara "secepat mungkin" menjelang mesyuarat pada 15 Jun.

Pada sidang kemuncak di Brussels, Kyiv mengharapkan ada satu keputusan diputuskan mengenai penghantaran senjata Barat bagi menyokong usaha perangnya.

"Jalan mudah - untuk menamatkan perang kita memerlukan senjata berat," kata penasihat presiden Ukraine, Mikhaylo Podolyak di Twitter.

Podolyak turut menyenaraikan senjata yang diperlukan oleh tentera Ukraine, termasuk beratus-ratus howitzer, kereta kebal dan kenderaan berperisai.

Ahad lalu, tentera Russia menyerang tapak di bandar Chortkiv di barat Ukraine yang menyimpan senjata yang dibekalkan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Serangan itu yang jarang dilakukan Russia di barat Ukraine yang menyebabkan 22 orang cedera, kata gabenor wilayah, Volodymyr Trush. - AFP

Berita Harian X