Isnin, 13 Jun 2022 | 10:13am
Tentera Ukraine bersama dengan sistem artileri dalam pertempuran dengan tentera Russia di bandar Bakhmut, wilayah Donetsk. -Foto REUTERS
Tentera Ukraine bersama dengan sistem artileri dalam pertempuran dengan tentera Russia di bandar Bakhmut, wilayah Donetsk. -Foto REUTERS

Russia musnahkan jambatan antara bandar di Sievierodonetsk

KYIV: Tentera Russia meletupkan jambatan sepanjang sungai yang menghubungkan bandar Sievierodonetsk dengan bandar lain di Ukraine, sekali gus menyekat laluan bagi proses memindahkan orang awam, kata pihak berkuasa tempatan semalam.

Sebahagian daripada bandar Sievierodonetsk dilaporkan musnah selepas ia menjadi sasaran utama Russia bagi mengawal wilayah Donbas, di timur negara itu.

Gabenor wilayah Luhansk, Serhiy Gaidai, berkata tentera Ukraine dan Russia masih bertempur di kebanyakan tempat di bandar berkenaan.

Katanya, tentera Russia memusnahkan jambatan merentangi Sungai Siverskyi Donets yang menghubungkan Sievierodonetsk dengan bandar kembarnya, Lysychansk.

"Tindakan berkenaan mengakibatkan hanya tinggal satu daripada tiga jambatan yang ada boleh digunakan ketika ini.

"Jika berlaku serangan baharu yang mengakibatkan jambatan berkenaan runtuh, jalan yang menghubungkan bandar ini akan terputus sepenuhnnya.

Tidak akan ada cara untuk meninggalkan Sievierodonetsk dengan kenderaan," katanya.

Gaidai turut berkata, situasi itu disebabkan kelemahan dalam perjanjian genjatan senjata, selain ketiadaan koridor kemanusiaan bagi menyelamatkan penduduk di sana yang dipersetujui.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam video ucapan hariannya yang disiarkan setiap malam berkata, tentera Russia sedang cuba mengerahkan pasukan simpanannya untuk mempertingkatkan serangan di Donbas.

"Matlamat taktikal utama penjajah tidak berubah, mereka terus melakukan serangan berterusan di Sievierodonetsk dengan pertempuran sengit sedang berlangsung secara berterusan di sana," katanya.

Setakat ini, tentera Rusia sudah menguasai sebahagian besar bandar itu tetapi tentera Ukraine kekal mengawal kawasan perindustrian dan loji kimia Azot yang turut menjadi tempat perlindungan membabitkan ratusan orang awam. - REUTERS

Berita Harian X