Sabtu, 11 Jun 2022 | 2:39pm
Tentera Ukraine menggunakan meriam bagi membalas serangan tentera Russia di wilayah Donetsk. - Foto fail REUTERS
Tentera Ukraine menggunakan meriam bagi membalas serangan tentera Russia di wilayah Donetsk. - Foto fail REUTERS

Ukraine terus merayu bantuan senjata

KYIV: Ukraine merayu kepada negara Barat supaya segera menghantar senjata berikutan Russia yang mempunyai kelengkapan persenjataan lebih baik meningkatkan serangan di timur negara itu.

Lebih kritikal lagi apabila negara itu juga sedang berdepan wabak penyakit taun dengan kes semakin meningkat.

Tentera Russia meningkatkan serangan di timur Ukraine termasuk di bandar kecil Sievierodonetsk, sejak kebelakangan ini.

Pegawai Ukraine berkata, peperangan itu boleh berubah jika Washington dan negara Barat memenuhi janji untuk menghantar lebih banyak senjata yang lebih baik, termasuk sistem roket.

"Semuanya sekarang bergantung kepada apa yang (Barat) berikan (senjata) kepada kita. Ukraine mempunyai satu meriam berbanding Russia yang miliki 10 hingga 15 meriam," kata Timbalan Ketua Perisikan Tentera Ukraine, Vadym Skibitsky kepada akhbar Guardian Britain.

Akhbar Der Spiegel pula melaporkan, Jerman yang menjadi pembekal terbesar senjata sejak Russia menceroboh negara itu tetapi negara itu dikritik kerana lambat membekalkan senjata berat, berkata mereka perlu dan merancang untuk menyemak semula peraturannya mengenai eksport senjata untuk memudahkan negara demokrasi seperti Ukraine.

Sementara itu, Datuk Bandar Mariupol, Vadym Boichenko, berkata sistem sanitasi awam mulai rosak dan mayat mulai mereput di jalanan.

"Terdapat juga wabak taun...peperangan meragut 20,000 penduduk ... malangnya, dengan wabak jangkitan ini, ia akan menuntut ribuan lagi penduduk daerah ini," kata Boichenko kepada televisyen kebangsaan dengan menjelaskan beberapa telaga yang menyediakan bekalan air sudah dicemari oleh mayat.

Boichenko turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bagi membolehkan penduduk yang ada meninggalkan bandar itu, yang kini sudah berada di bawah kawalan Russia.

Russia kini turut berharap untuk menawan semua wilayah timur Luhansk, yang membentuk wilayah Donbas, di mana Moscow menyokong pemberontakan oleh proksi pemisah sejak 2014.

Justeru, Kremlin menumpukan anggota tenteranya dalam pertempuran untuk Sievierodonetsk, yang berada di Luhansk.

Tentera Ukraine sebahagian besarnya menarik diri dari kawasan perumahan di bandar itu tetapi tidak melepaskan kedudukan mereka di tebing timur Sungai Siverskiy Donets. - REUTERS

Berita Harian X