Jumaat, 10 Jun 2022 | 10:25am
Syarikat Bavarian Nordic yang beribu pejabat di Denmark, adalah satu-satunya di dunia yang mempunyai kelulusan untuk vaksin cacar yang dipanggil Jynneos di AS dan Imvanex di Eropah, yang juga berkesan terhadap cacar monyet. - Foto fail REUTERS
Syarikat Bavarian Nordic yang beribu pejabat di Denmark, adalah satu-satunya di dunia yang mempunyai kelulusan untuk vaksin cacar yang dipanggil Jynneos di AS dan Imvanex di Eropah, yang juga berkesan terhadap cacar monyet. - Foto fail REUTERS

Sepanyol mulakan vaksinasi cacar monyet ke atas kontak rapat

MADRID: Sepanyol akan mula memberi vaksin kepada kontak rapat kes cacar monyet selepas lebih 242 orang disahkan positif virus itu sejak 19 Mei, kata Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Disebabkan kekurangan bekalan vaksin, hanya mereka yang pernah berhubung rapat atau mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit serius boleh mendapatkan vaksin, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Reuters, kira-kira 200 vaksin Imvanex Bavarian Nordic tiba di Sepanyol pada Isnin dan kerajaan sedang menunggu untuk membeli lebih banyak di bawah skim pembelian vaksin Kesatuan Eropah (EU).

Lebih 1,200 kes cacar monyet disahkan di sekitar 30 negara yang mana penyakit itu tidak endemik, kebanyakannya di Eropah.

Jumlah kes jangkitan di Sepanyol meningkat sebanyak sembilan kes pada Khamis.

Sementara itu AFP melaporkan, Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan kes pertama cacar monyet membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang telah mengembara ke Eropah.

Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku secara amnya terhad kepada Afrika barat dan tengah. Ia berkaitan tetapi kurang teruk berbanding cacar, menyebabkan antaranya gejala ruam yang merebak, demam dan menggigil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan hampir 1,000 kes penyakit itu di 29 negara di mana ia bukan endemik. Kebanyakannya dikesan di Britain, Kanada, Jerman, Portugal dan Sepanyol.

Orang Brazil pertama yang dijangkiti telah pergi ke Sepanyol dan Portugal, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

Dia dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan berada dalam keadaan baik, katanya, sambil menambah kontak rapatnya sedang dalam pemerhatian.

Brazil ialah negara Amerika Latin ketiga yang merekodkan kes cacar monyet selepas Argentina dan Mexico.

Setakat ini, WHO berkata tiada kematian dilaporkan di negara di mana cacar monyet bukan endemik. - AGENSI

Berita Harian X