Isnin, 6 Jun 2022 | 12:09pm
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (tengah), melawat pusat pelarian di Zaporizhzhia ketika lawatan kerja bagi memberi semangat kepada tentera Ukraine di barisan hadapan. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (tengah), melawat pusat pelarian di Zaporizhzhia ketika lawatan kerja bagi memberi semangat kepada tentera Ukraine di barisan hadapan. - Foto AFP

Presiden Ukraine lawat barisan hadapan perang

KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bertemu tentera di barisan hadapan di Donbas semalam, ketika pertempuran hebat berlaku di timur kawasan perindustrian yang mahu dirampas Moscow.

Zelensky melawat pos komando dan kedudukan barisan hadapan di Lysychansk, yang terletak di seberang sungai Siverskyi Donets dari Severodonetsk, lokasi tentera Ukraine berundur ketika kemaraan tentera Russia bagi merebut bandar strategik itu.

Beliau juga melawat Bakhmut, di barat daya di wilayah Donetsk di Donbas dan bercakap dengan anggota tentera Ukraine.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerja hebat dan perkhidmatan anda melindungi kita semua, negeri kita. Saya berterima kasih kepada semua. Jaga diri anda!" katanya.

Dalam lawatan kerjanya, Zelensky 'membiasakan dirinya dengan keadaan operasi di barisan hadapan pertahanan'.

"Saya bangga dengan semua orang yang saya temui dan berjabat tangan, dengan siapa saya berkomunikasi, yang saya sokong," katanya dalam ucapan harian selepas lawatannya.

Presiden berkata, beliau juga pergi ke Zaporizhzhia di tenggara untuk bertemu penduduk Mariupol yang berjaya meninggalkan bandar pelabuhan yang musnah akibat pengeboman Russia selama beberapa bulan.

"Setiap keluarga ada kisah tersendiri, kebanyakannya tanpa lelaki. Ada yang pergi berperang, dipenjarakan, mahu pun meninggal dunia. Ia satu tragedi.

"Tiada rumah, tiada orang tersayang, namun perlu teruskan kehidupan demi anak. Wira sejati ada di kalangan kita," katanya.

Perjalanan Zelensky ke medan perang memberinya pandangan yang penting mengenai operasi ketenteraan dan penguat semangat bagi tentera barisan hadapan, kata bekas Jeneral Tentera Australia, Mick Ryan.

Ia juga menunjukkan 'beliau mempunyai kepercayaan penuh terhadap tenteranya' dan menyerlahkan perbezaan gaya kepimpinan berbanding lawannya, Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pada Mei lalu, Zelensky melawat barisan hadapan, manakala setakat ini, tiada tanda Putin berada di lokasi berdekatan medan perang sejak melancarkan pencerobohannya. - AFP

Berita Harian X