Isnin, 6 Jun 2022 | 8:29am
Gambar hiasan. - Foto EPA
Gambar hiasan. - Foto EPA

UK bekal peluru berpandu jarak jauh kepada Ukraine

LONDON: Britain hari ini berkata ia akan menyusuli Amerika Syarikat (AS) dan menghantar sistem peluru berpandu jarak jauh ke Ukraine, mengingkari amaran Presiden Russia, Vladimir Putin, supaya tidak membekalkan Kyiv dengan senjata canggih itu.

Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) berkata, London sudah menyelaraskan bersama Washington berhubung pemberian sistem roket pelbagai pelancaran, dikenali sebagai MLRS, bagi membantu pertahanan Ukraine daripada pencerobohan Russia.

Katanya, pelancar M270 mampu menyerang sasaran sejauh hingga 80 kilometer (km) dengan roket berpandu tepat, bakal 'menawarkan peningkatan ketara dalam keupayaan tentera Ukraine'.

AS minggu lalu, mengumumkan akan memberi Kyiv sistem roket artileri mobiliti tingginya, dikenali sebagai HIMARS, yang boleh melancarkan pelbagai peluru berpandu tepat secara serentak, berbanding sistem sedia ada dimiliki Ukraine.

Namun, Presiden AS, Joe Biden, menolak untuk membekalkannya dengan sistem yang boleh sampai ke Russia, walaupun Kyiv menuntutnya berulang kali.

Langkah AS itu semalam mendorong Putin memberi amaran Moscow akan menyerang 'sasaran' baru yang tidak ditentukan jika Barat membekalkan peluru berpandu ke Ukraine dan menjelaskan penghantaran senjata baharu ke Kyiv bertujuan 'memanjangkan konflik'.

Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace, ketika mendedahkan sumbangan terbaru UK dalam satu kenyataan, menegaskan sekutu Barat Ukraine perlu terus menghantar senjata bagi membolehkan Kyiv 'memenangi' peperangan melawan serangan tentera Russia.

Katanya, tentera Ukraine akan dilatih dengan kaedah penggunaan pelancar di UK supaya mereka boleh 'memaksimumkan keberkesanan sistem.

"UK bersama Ukraine dalam perjuangan ini dan mengambil peranan utama dalam membekalkan tentera dengan senjata penting yang diperlukan bagi mempertahankan negara mereka daripada pencerobohan tanpa provokasi.

"Apabila taktik Russia berubah, begitu juga sokongan kita kepada Ukraine.

"Sistem roket berbilang pelancaran berkebolehan tinggi ini akan membolehkan Ukraine melindungi diri dengan lebih baik daripada penggunaan artileri jarak jauh yang kejam digunakan tentera Putin secara sembarangan untuk meratakan bandar," katanya.

London setakat ini sudah menawarkan lebih daripada £750 juta (RM4.12 bilion) dalam sokongan ketenteraan ke Ukraine, termasuk menghantar sistem pertahanan udara, ribuan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai jenis peluru, ratusan kenderaan perisai dan peralatan lain. - AFP

Berita Harian X