Ahad, 5 Jun 2022 | 9:28pm
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AGENSI
Presiden Russia, Vladimir Putin. - Foto AGENSI

Putin beri amaran jika Ukraine dibekalkan peluru berpandu jarak jauh

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa Moscow akan menyerang sasaran baharu jika Barat membekalkan peluru berpandu jarak jauh ke Ukraine.

Agensi berita Russia memetik Putin sebagai berkata, penghantaran senjata baharu ke Kyiv disifatkan sebagai 'memanjangkan konflik' dan tidak teragak-agak untuk menggunakan senjata sesuai menyerang sasaran.

Dalam petikan wawancara disiarkan di televisyen Rossiya-1, Putin tidak menyatakan dengan tepat sasaran mana mahupun julat tepat peluru berpandu yang akan bertindak balas.

Kenyataannya muncul selepas beberapa hari Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan membekalkan Ukraine dengan sistem roket pelancar berbilang Himars.

Himars ialah unit mudah alih yang boleh melancarkan berbilang peluru berpandu ketepatan secara serentak sehingga 80 kilometer jauhnya.

Pakar ketenteraan mengatakan bahawa jarak sistem Himars lebih panjang sedikit daripada sistem Russia yang serupa, bermakna tentera Kyiv boleh menyerang artileri musuh sambil menjauhkan diri dari jangkauan Moscow.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden bagaimanapun menolak membekalkan Ukraine dengan sistem yang boleh sampai ke Russia, walaupun Kyiv meminta berulang kali untuk senjata sedemikian.

Putin berkata, tiada apa-apa yang baharu dalam senjata yang dibekalkan oleh Washington ke Kyiv dan pasukan Ukraine mempunyai senjata serupa dengan sistem buatan Soviet atau Russia.

"Julat peluru berpandu tidak bergantung pada sistem itu sendiri, tetapi pada peluru berpandu yang digunakan.

"Daripada apa yang kita tahu dan faham hari ini, ia adalah sistem menggunakan peluru berpandu dengan jarak 45 hingga 70 kilometer," katanya. - AFP

Berita Harian X