Ahad, 5 Jun 2022 | 9:11am
Penduduk tempatan bersembang di hadapan bangunan yang musnah akibat serangan Russia di Borodianka, Ukraine. - Foto REUTERS
Penduduk tempatan bersembang di hadapan bangunan yang musnah akibat serangan Russia di Borodianka, Ukraine. - Foto REUTERS

Russia berusaha 'sedaya upaya' tawan bandar timur Ukraine

KYIV: Sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh di wilayah Lugansk dalam pertempuran sengit antara tentera Ukraine dan Russia di Severodonetsk.

Bagaimanapun, Ukraine memberitahu pihaknya berhasil mengusir tentera Moscow dalam pertempuran sengit di Severodonetsk walaupun Russia menggunakan seluruh kuasanya untuk menawan kota strategik di timur itu.

Gabenor wilayah Lugansk, Sergiy Gaiday, berkata pasukan penceroboh sudah menawan kebanyakan Severodonetsk, namun tentera Ukraine mengusir mereka semula.

"Tentera Russia, seperti yang kami faham, menggunakan seluruh kuasa, semua simpanannya, ke arah sini," katanya.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata keadaan di Severodonetsk, di mana pertempuran di jalanan terus berlaku, kekal sukar, termasuk di beberapa bandar lain di wilayah Donbass.

"Serangan udara berterusan, bedilan artileri dan tembakan roket juga tidak berhenti-henti..

"Setakat pagi ini, sejumlah 2,503 pelbagai jenis peluru berpandu Russia yang digunakan terhadap Ukraine adalah ", katanya.

Severodonetsk adalah bandar terbesar di wilayah Lugansk yang masih berada di tangan Ukraine, di mana tentera Russia mula mara perlahan-lahan dalam tempoh beberapa minggu selepas berundur atau diusir dari kawasan lain, termasuk di sekitar ibu negara Kyiv.

Tentera Russia mendakwa sebahagian unit ketenteraan Ukraine mula berundur dari bandar itu.

Kuasa Barat mula mengenakan sekatan ketat ke atas Russia dan membekalkan senjata ke Ukraine.

Bagaimanapun, timbul perpecahan berhubung bagaimana cara untuk melaksanakannya kerana sebahagian besar negara Eropah bergantung kepada bekalan tenaga Russia.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata Putin melakukan 'kesilapan asas', namun Russia tidak seharusnya 'dimalukan' semata-mata untuk mencari penyelesaian diplomatik.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, membalas semalam dengan menyatakan seruan itu hanya memalukan Perancis atau negara lain yang mengambil pendirian sama.

"Jika Russia yang memalukan dirinya sendiri. Lebih baik kita tumpukan kepada bagaimana untuk meletakkan Russia di tempatnya," katanya.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov, mengulangi rayuan kerajaannya kepada sekutu asing untuk mempercepatkan penghantaran senjata berat, dalam ucapan yang disiarkan di forum Globsec-2022 mengenai keselamatan antarabangsa, semalam.

"Sekiranya Kyiv menerima peralatan yang dipinta, saya tidak boleh meramal dengan pasti bulan berapa kami dapat 'menghalau' mereka keluar, tetapi saya berharap dan ia adalah perancangan yang realistik, untuk melakukannya tahun ini," katanya. - AFP

Berita Harian X