Khamis, 2 Jun 2022 | 2:50pm
Seorang wanita menangis selepas kejadian serangan roket yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang di Slovyansk, Donetsk. - Foto AFP
Seorang wanita menangis selepas kejadian serangan roket yang membunuh sekurang-kurangnya tiga orang di Slovyansk, Donetsk. - Foto AFP

Russia makin hampir tawan bandar utama Ukraine, Severodonetsk

OLEDAR: Tentera Russia semakin hampir menawan bandar utama Ukraine, Severodonetsk namun Kyiv berharap dapat mempertahankannya dibantu ikrar Amerika Syarikat (AS) dengan sistem roket yang lebih canggih.

Gabenor Lugansk, Sergiy Gaiday, berkata setakat ini Russia sudah mengambil alih 70 peratus hab industri utama dengan tentera Ukraine berundur ke kedudukan yang disediakan.

"Sekiranya dalam dua atau tiga hari ini Russia berjaya tawan Severodonetsk, mereka akan bersedia dengan senjata dan mortar sebelum mengebom Lysychansk dengan lebih agresif," katanya.

Ukraine sebelum ini berjaya menghalang Russia daripada menawan Kyiv sejak kempen ketenteraan bermula 24 Februari lalu, namun terpaksa membayarnya pada harga yang tinggi apabila Presiden, Volodymyr Zelensky memaklumkan kira-kira 60 hingga 100 anggota tenteranya terbunuh setiap hari.

"Situasi di timur amat sukar," kata Zelensky.

Severodonetsk kini menjadi sasaran bedilan peluru Russia dan hanya Lysychansk satu-satunya menjadi kubu pertahanan puak penentang di timur Lugansk.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine, Oleksander Motuzianyk, berkata tentera Russia sudah memasuki Severodonetsk dan pertempuran sedang berlaku.

"Tentera Ukraine sedaya upaya menentang mereka," katanya.

Presiden AS, Joe Biden, sebelum ini mengesahkan bantuan senjata dalam perjalanan dihantar bagi membantu tentera Ukraine.

Senjata itu terdiri beberapa sistem pelancar roket yang mampu melancarkan peluru berpandu secara jarak jauh.

Sistem pelancar roket terbabit antara senjata utama pakej bernilai AS$700 juta, termasuk radar pemantauan udara, senjata anti kereta perisai jarak dekat Javelin, peluru, helikopter, kenderaan dan alat ganti. - AFP

Berita Harian X